suria

Robert Mugabe Tetapkan Tarikh P/Raya Zimbabwe 31 Julai

HARARE: Zimbabwe kembali ke kancah krisis selepas Presiden Robert Mugabe mengisytiharkan 31 Julai sebagai tarikh pilihan raya dengan Perdana Menteri, Morgan Tsvangirai berikrar untuk mencabar kesahihan pengumuman itu.

Mugabe menggunakan kuasa yang ada padanya sebagai presiden untuk mengumumkan tarikh pilihan raya negara tersebut dalam usahanya untuk menamatkan pertelingkahan antaranya dengan Tsvangirai menerusi kertas undi.

Kedua-dua pihak itu sebelum ini berkongsi kuasa untuk memerintah Zimbabwe.

Sementara Mugabe berhujah bahawa tindakannya itu didorong oleh Mahkamah Perlembagaan yang mengarahkan supaya pilihan raya mestilah diadakan menjelang hujung Julai, tetapi tarikh yang dipilih beliau dipertikaikan oleh perdana menteri.

Tsvangirai sebelum ini menegaskan yang partinya akan menggunakan kuasa veto untuk menolak sebarang cadangan tarikh mengadakan pilihan raya sebelum transformasi demokrasi dilaksanakan di negara itu.

Ini kerana beliau bimbang Parti ZANU-PF pimpinan Mugabe akan memanipulasikan undi jika tiadanya usaha untuk menjadikan pilihan raya negara itu telus.

Pilihan raya Zimbabwe sebelum ini sentiasa sahaja berakhir dengan pertikaian wujudnya penipuan pengiraan undi dan ini memaksa para pemimpin daerah dan wilayah menekan Mugabe supaya membentuk kerajaan perpaduan dengan Tsvangirai.

Ekoran daripada pembentukan kerajaan perpaduan itu, Zimbabwe akhirnya menyaksikan berlakunya perubahan kepada perlembagaan dan beberapa proses demokrasi yang lain tetapi Tsvangirai dan partinya merasakan ia masih tidak memadai dan mendesak agar lebih banyak perubahan dilakukan ke atas undang-undang pilihan raya dan juga perkhidmatan keselamatan.

Dan di bawah persetujuan yang dicapai di antara kedua-dua belah pihak, Mugabe mestilah terlebih dahulu berunding dengan Tsvangirai mengenai sebarang tarikh pilihan raya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain