suria

Kuota Haji Indonesia Dipotong 42,000 Jemaah

JAKARTA: Kerajaan Arab Saudi akan memotong kuota jemaah haji Indonesia sebanyak kira-kira 42,000 jemaah pada musim haji tahun ini kerana terbatasnya ruang ibadah di tanah suci berikutan projek mega perluasan Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Menteri Agama, Suryadharma Ali berkata, beliau telah menerima surat pemberitahuan rasmi dari Arab Saudi tentang pemotongan kuota itu.

Jumlah yang akan dipotong ialah kira-kira 20 peratus dari kuota tahunan 211,000 jemaah haji Indonesia dan ia mewakili kira-kira 42,000 orang jemaah, portal berita Republika Online melaporkan.

Suryadharma Ali berkata, pihaknya belum bersedia mengulas lanjut mengenai perkara itu namun kerajaan Indonesia akan berusaha melobi di Arab Saudi untuk sekurang-kurangnya kuota haji dari Indonesia dapat dikekalkan seperti biasa.

Duta Besar Arab Saudi ke Indonesia, Musthafa bin Ibrahim al-Mubarak telah memberitahu Republika hujung minggu lalu bahawa pengurangan kuota itu adalah bersifat umum dan ia dikenakan kepada semua negara, tidak terkecuali Indonesia.

Musthafa berkata, penjaga kedua-dua masjid agung itu berpendapat bahawa langkah pemotongan kuota jemaah haji adalah untuk kebaikan semua pihak bagi memastikan jemaah haji dari seluruh dunia dapat beribadat dengan selesa.

Beliau berkata, pengurangan kuota itu juga dilaksanakan untuk jemaah umrah, namun beliau tidak dapat memastikan sampai bila ia akan dilaksanakan kerana projek pembesaran kedua-dua masjid itu yang bermula tahun lalu, mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

Indonesia yang mempunyai penduduk berjumlah lebih 240 juta orang, mempunyai penduduk Islam teramai di dunia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain