suria

Para Petani Mula Bercucuk Tanam 15 Kilometer Dari Loji Nuklear Fukushima

TOKYO: Para petani yang terdesak telah kembali mengerjakan sawah mereka hanya 15 kilometer dari Loji Nuklear Fukushima Daiichi yang musnah akibat kebocoran radiasi ketika tsunami melanda negara itu lebih dua tahun yang lalu.

Inilah buat pertama kalinya sejak Mac 2011 para petani telah kembali mengerjakan tanah mereka yang terletak dalam lingkungan 20-kilometer "zon larangan".

Keputusan untuk membenarkan para petani ini kembali mengerjakan tanah mereka selepas dua tahun, diambil kerajaan mendapati radiasi di "zon larangan" telah kembali ke paras hampir normal.

Bagaimanapun masih terdapat beribu lagi pemilik tanah dan kediaman yang tidak dibenarkan kembali ke tempat masing-masing.

Sabtu lalu tiga pemilik tanah bendang telah didapati memulakan penanaman semula padi di kawasan seluas enam hektar (15 ekar) berhampiran pekan Tamura, kata pegawai pertanian wilayah Fukushima.

Sejak April tahun lalu, para pemilik tanah dan kediaman hanya dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing di siang hari dan mereka tidak dibenarkan bermalam.

Sementara itu, para petani yang kembali mengerjakan bendang mereka berkata, mereka kini menggunakan baja potasium untuk membantu menurunkan kadar radioaktif jika masih wujud.

Lebih 18,000 nyawa terkorban dalam malapetaka tsunami dua tahun lalu - iaitu antara yang terburuk dalam sejarah Jepun.

Artikel Lain