suria

Pesaing Tadika Suntik Bahan Kimia Dalam Yogurt Sebabkan Dua Kanak-Kanak Maut

BEIJING: Dua kanak-kanak perempuan maut selepas memakan yogurt yang dicemari bahan kimia, tetramina, disebabkan kontroversi antara dua tadika di kampung yang sama di Wilayah Hebei di utara China.

Agensi berita Xinhua memetik polis tempatan sebagai berkata salah seorang pemilik tadika itu mengakui yang dia telah menyuntik racun berkenaan ke dalam yogurt dan meletakkan yogurt itu bersama-sama beberapa buku-buku di laluan tadika saingannya.

Kedua-dua mangsa, Xiaohua (bukan nama sebenar) yang berumur lima tahun dan Xiaolu (bukan nama sebenar) enam tahun memakan yogurt tersebut ketika bermain di kawasan itu pada 24 April dan kemudiannya didapati mulut mereka berbuih dan mengalami kekejangan.

Xiaohua meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital manakala Xiaolu meninggal dunia seminggu kemudian.

Kedua-dua pemilik tadika itu telah ditahan dan siasatan dijalankan oleh pihak polis tempatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain