suria

Malaysia Kutuk Keras Tindakan Israel Wujudkan Penempatan di Kawasan Penduduk Palestin

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengutuk keras tindakan Israel mewujudkan petempatan di kawasan penduduk Palestin, yang diisytihar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Majlis Ekonomi dan Sosial, Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Majlis Keselamatan sebagai tidak sah.

Timbalan wakil tetap Malaysia ke PBB di New York Datuk Saiful Azam Martinus Abdullah berkata petempatan itu patut diharamkan.

"Kita tidak sepatutnya menipu diri sendiri dengan mempercayai bahawa penduduk Israel hanya mengambil alih tanah dan sumber yang tidak dimanfaatkan untuk mencari masa depan yang lebih baik dan berhemah," katanya dalam kenyataan pada perbahasan terbuka mengenai keadaan di Timur Tengah, termasuk Persoalan Palestin di Majlis Keselamatan PBB pada Rabu.

Beliau berkata hakikat yang tidak boleh diterima ialah penduduk haram ini sering melakukan keganasan dan gangguan terhadap penduduk Palestin, termasuk menyerang, mencuri atau memusnahkan ladang zaitun rakyat Palestin apabila tiba musim menuai.

"Malah, air dari kualifer di wilayah itu disalurkan penduduk haram berkenaan ke saluran paip Israel untuk mengairi tanaman yang pada asalnya diusahakan penduduk Palestin," katanya.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa agar tidak teragak-agak mengutuk dan mengambil tindakan terhadap perbuatan penduduk haram itu melakukan keganasan serta perbuatan kejam lain sebelum keadaan menjadi semakin parah.

Saiful Azam berkata sekatan haram terus dilakukan walaupun tindakan segera sebenarnya perlu diambil untuk menyelesaikan masalah kemanusiaan yang begitu serius di situ, terutama berkaitan jaminan makanan untuk penduduk.

Katanya Malaysia juga memandang berat kejadian beberapa rakyat Palestin meninggal dunia di dalam penjara, berkemungkinan akibat diseksa pegawai Israel.

Sementara itu, Saiful Azam berkata Malaysia ingin menyuarakan kebimbangannya tentang keadaan di Syria. -BERNAMA

Artikel Lain