suria

Mahkamah Pakistan Arah Tangkap Bekas Presiden Musharraf Tapi Tiada Seorang Polis Berani Menahannya

ISLAMABAD: Mahkamah Agung Pakistan telah mengeluarkan arahan tangkap ke atas bekas presiden Pervez Musharraf tetapi beliau kemudian keluar meninggalkan perkarangan mahkamah tanpa berani ditahan oleh mana-mana anggota polis yang mengawal.

Bekas jeneral itu kemudian dengan segera menuju ke ladang miliknya yang dikawal komando polis di pinggir bandar ini.

Yang paling menakjubkan sebaik sahaja arahan itu dikeluarkan, tidak ada seorang pun anggota polis dan pegawai mahkamah yang memenuhi ruang kamar bilik perbicaraan itu berani menahan Musharraf yang berjalan keluar menuju ke kenderaannya.

Arahan itu dikeluarkan berhubung tindakan Musharraf memecat beberapa orang hakim yang dilihat oleh mahkamah sebagai campurtangan pihak eksekutif ke atas institusi kehakiman ketika beliau mengisytiharkan undang-undang darurat pada tahun 2007.

Yang paling menarik perhatian ialah polis sebaliknya memberi perlindungan kepadanya dengan mengawal di luar pagar kediaman mewahnya itu.

Beberapa pemimpin parti politik pimpinan Musharraf - Liga Muslim Seluruh Pakistan - kemudiannya dilihat memasuki premis kediamannya untuk berbincang berhubung perkembangan terbaru ini.

Bekas jeneral itu merampas kuasa tanpa pertumpahan darah pada 1999 dan tindakannya itu telah mendapat sokongan rakyat pada masa itu.

Beliau memerintah sehingga Ogos 2008 dan kemudiannya melarikan diri ke Dubai apabila terdapatnya usaha-usaha untuk mendakwanya di mahkamah atas dakwaan menyalahgunakan kuasa sebagai presiden dan juga terlibat dengan konspirasi membunuh Benazer Bhutto pada 27 Disember 2007 dengan tidak memberikan perlindungan keselamatan ketika sedang berkempen dalam pilihan raya umum tahun itu.

Pada Selasa, bekas presiden itu juga tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi sementara menunggu tiga kesnya untuk didengar oleh Mahkamah Agung.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain