suria

Kes Langgar Lari: Bekas Diplomat Romania Dihukum Penjara Tiga Tahun

SINGAPURA: Bekas diplomat Romania Silviu Ionescu didapati bersalah dalam kes langgar lari di Singapura dan dihukum penjara tiga tahun oleh mahkamah Romania.

Mahkamah memutuskan Ionescu dilepaskan daripada tuduhan membuat kenyataan palsu, tetapi didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan - menyebabkan kematian, mendatangkan kecederaan dan melarikan diri dari tempat kejadian, lapor televisyen tempatan Channel NewsAsia.

Dia dihukum penjara tiga tahun bagi kesalahan menyebabkan kematian, lapan bulan penjara mendatangkan kecederaan dan tiga tahun bagi kesalahan melarikan diri dari tempat kejadian.

Hukuman itu berjalan serentak.

Hukuman penjara itu turut mengambil kira tempoh enam bulan yang dijalaninya semasa ditahan.

Ionescu juga diarah membayar 38,000 Leu Romania (atau kira-kira S$13,700) sebagai kos mahkamah.

Beberapa hak-hak sivilnya juga akan digantung semasa dia menjalani hukuman.

Bagaimanapun Ionescu tidak hadir ke mahkamah semasa keputusan itu diumumkan.

Peguamnya memberitahu AFP anak guamnya akan mengemukakan rayuan.

Mahkamah menolak permohonan seorang saksi agar dibayar pampasan kerana masa yang diluangkannya memberi keterangan menerusi sidang video.

Keluarga mangsa juga tidak akan menerima pampasan, kerana mereka tidak memfailkan permohonan itu.

Ionescu, yang merupakan bekas Kuasa Usaha Romania di Singapura didapati bersalah melanggar tiga pejalan kaki pada 15 Disember 2009 ketika memandu kereta milik Kedutaan Romania.

Seorang mangsa, Tong Kok Wai, 30, warganegara Malaysia meninggal dunia.

Artikel Lain