suria

Agus Martowardojo Dipilih Gabenor Baru Bank Pusat Indonesia

JAKARTA: Menteri Kewangan Indonesia Agus Martowardojo dipilih sebagai Gabenor baharu Bank Indonesia (BI), iaitu bank pusat republik itu, melalui undian pada persidangan Suruhanjaya XI Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia malam Selasa.

Beliau akan menggantikan Darmin Nasution, yang akan tamat tempoh jawatannya pada bulan Mei ini.

Pemilihan Agus disambut positif oleh pelabur dan pasaran melihat beliau sebagai tokoh yang tepat bagi menggantikan Darmin, kata Ketua Penyelidikan PT Universal Broker Indonesia Satrio Utomo, sebagaimana dipetik portal berita tempo.co.

Beliau dinilai berjaya menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan, dikenali secara dekat dalam kalangan pasaran dan mengetahui selok belok kewangan di Indonesia kerana latar belakangnya sebagai ahli bank sebelum ini.

Agus, 57, merupakan calon tunggal yang diberikan oleh Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono untuk pertimbangan dan kelulusan suruhanjaya itu bagi mengisi jawatan Gabenor BI.

Proses perbincangan bagi meluluskan pencalonan beliau oleh suruhanjaya itu semalam berlangsung hampir lapan jam. Pada Isnin lepas, Menteri Kewangan itu telah melalui proses ujian kelayakan dan kepatutan oleh para anggota suruhanjaya itu.

Ini adalah kali kedua Agus dicalonkan sebagai Gabenor BI setelah pencalonannya pada 2008 ditolak oleh suruhanjaya itu. -BERNAMA

Artikel Lain