suria

Pakistan Puji Konsep 1Malaysia - Pesuruhjaya Tinggi

KUALA LUMPUR: Konsep 1Malaysia merupakan satu idea indah dalam menggalakkan perpaduan pelbagai kaum yang dapat hidup secara harmoni di bawah satu bumbung, kata bakal Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Shahid M.G.Kiani.

Diplomat berusia 59 tahun itu berkata konsep tersebut, yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2009, telah berjaya menyatupadukan semula warga Malaysia sebagai satu bangsa.

Oleh itu, negara pelbagai kaum dan budaya lain perlu mempelajari nilai-nilai itu daripada Malaysia, katanya.

"Konsep ini membuat penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat merasakan diri mereka hidup sebagai satu keluarga. Sesungguhnya, ia merupakan konsep yang baik," katanya.

Shahid berkata demikian pada sidang media selepas majlis menaikkan bendera sempena Hari Kebangsaan Pakistan ke-73 hari ini di pejabat Suruhanjaya Tinggi negara itu di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pengusaha industri pelancongan di Malaysia dan Pakistan perlu menjalinkan kerjasama dalam mengembangkan lagi industri itu. "Beberapa perkara kita boleh laksanakan seperti memperkenalkan produk pelancongan yang ditawarkan oleh Pakistan menerusi penganjuran seminar di sini," katanya.

Beliau berkata seramai 75,000 pelancong Pakistan melawat Malaysia tahun lepas dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang tahun depan.

Mengenai pilihan raya Pakistan pada 11 Mei ini, beliau berkata ianya menarik kerana hampir sama dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 di negara ini.

"Sistem demokrasi yang hampir sama, saya bangga untuk melihat demokrasi masih subur," kata Shahid yang berkhidmat di Vietnam sebelum ditukarkan ke sini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain