suria

Lima Individu Didakwa Tipu Agro Bank

KUALA LUMPUR: Lima individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan menipu Agro Bank berhubung dokumen permohonan pinjaman bank itu Februari lalu.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Roslinda Mah Alim, 33, dan Mohd Idzzuwan Kamshah, 25, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas menipu bank itu melalui Niazatun Nikmatlah, 42, sehingga mempercayai dokumen permohonan pinjaman jenis Agro Cash-I bagi penama Jalina Mohd Shariff, 33, merupakan tulen.

Tindakan kedua-dua tertuduh itu mendorong bank tersebut menyerahkan wang RM100,000 ke akaun Jalina.

Mereka yang bekerja sendiri didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 petang, 6 Februari lalu di Agro Bank cawangan Cheras di sini, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Hakim Murtazadi membenarkan setiap tertuduh yang diwakili peguam Mohd Jamil Yaacob dijamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 April untuk sebutan semula kes.

Tiga lagi lelaki didakwa terhadap tiga pertuduhan menipu bank itu di cawangan Bandar Tasek Selatan dan Leboh Pasar, membabitkan jumlah RM125,000 bulan lalu.

Redzuan Abdul Azis, 32, Ahmad Kamal Zulkifly, 27, dan Izzat Shamil Jasmi, 23, didakwa memperdayakan bank itu menerusi Zamakhsyari Omar sehingga mempercayai bahawa dokumen permohonan pinjaman Agro Cash-i yang dikemukakan adalah tulen.

Perbuatan mereka mendorong pihak bank menyerahkan wang sejumlah RM125,000 ke dalam akaun Ahmad Kamal dan Izzat Shamil yang mana pihak bank tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Redzuan didakwa melakukan kesalahan itu di bank tersebut di cawangan Bandar Tasek Selatan dan Leboh Pasar pada 1 tengah hari, 5 Februari lalu.

Redzuan turut didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Izzat Shamil bagi tujuan sama, pada hari sama.

Mereka bertiga didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala Redzuan pula dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama kerana bersubahat.

Mahkamah membenarkan Redzuan dijamin RM50,000, Ahmad Kamal RM30,000 manakala Izzat Shamil RM20,000 dan menetapkan 26 April untuk sebutan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri manakala peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab mewakili Redzuan sementara dua tertuduh yang lain tidak diwakili peguam. -BERNAMA

Artikel Lain