suria

Johor Pula Jadi Sasaran Penyeludup Dadah Warga India

JOHOR BARU: Selepas beberapa negeri menjadi sasaran penyeludup dadah warga India, kini Johor pula menjadi tumpuan mereka.

Sebelum ini mereka dilapor menyeludup ketamin di Terengganu, Kedah, Pahang dan Kelantan mulai awal bulan ini melalui lapangan terbang domestik.

Isnin lalu, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor mematahkan pula cubaan menyeludup dipercayai ketamin seberat 9.307kg yang dianggarkan bernilai RM325,745 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Timbalan Pengarah KDRM Johor, Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata seorang warganegara India berusia 45 yang menggunakan penerbangan dari negara tersebut sebelum transit di Singapura dan kemudian Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur telah ditahan.

"Sepasukan anggota kastam Unit Khas Pemeriksaan Penumpang mengesyaki lelaki itu menyembunyikan sesuatu di dalam beg galas dan beg troli yang dibawanya semasa membuat pengimbasan," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Semasa membuat pemeriksaan lanjut, mereka menemui serbuk putih dipercayai dadah jenis ketamin yang disorok di pelapik dinding beg troli berkenaan, katanya.

Zulkurnain berkata pasukan itu telah memeriksa lapan beg komputer riba di dalam beg troli itu dan menjumpai uncang kain hitam berisi serbuk putih yang dijahit dan disembunyikan di lapisan pelapik setiap beg komputer riba berkenaan.

Lelaki itu yang datang kali kedua ke negara ini direman sehingga 1 April ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori. BERNAMA

Artikel Lain