suria

Kapal Angkasa Voyager 1 Telah Melepasi Sempadan Sistem Solar ?

Voyager 1
 Voyager 1
Voyager 1

LONDON: Agensi Angkasa Lepas Amerika (Nasa) mengeluarkan satu kenyataan pada Khamis menegaskan yang saintis mereka tidak sepakat merumuskan sama ada kapal angkasa Voyager 1 yang dilancarkan 35 tahun yang lalu telah melepasi keluar dari sistem solar.

Pada mulanya berdasarkan data yang dihantar pulang oleh Voyager 1, mereka menyangkakan yang kapal angkasa itu telah pun mengembara begitu jauh sehingga ke penghujung sistem solar.

Jika ini benar-benar berlaku maka Voyager 1 akan menjadi objek buatan manusia yang pertama berjaya mengembara keluar dari sistem matahari memasuki apa yang dipanggil ruang angkasa inter-stellar.

Voyager 1 dilancarkan ke angkasa 35 tahun yang lalu dengan tujuan untuk hanya menerokasi ruang angkasa planet-planet dalam sistem solar kita.

Bagaimanapun kapal angkasa itu tidak berhenti mengembara sehingga ia tiba di penghujung sistem solar.

Kapal angkasa itu kini telah mengembara sejauh 11 bilion batu.

Bagaimanapun kini para saintis di Nasa yang merupakan pemilik kapal angkasa tersebut berbelah bagi dalam merumuskan sama ada Voyager 1 benar-benar telah melepasi sempadan sistem solar.

Sempadan sistem solar diukur dengan mengesan jarak terakhir pancaran partikel magnetik matahari sampai.

Voyager 1 kini masih tidak berhenti daripada pengembaraannya dan jika masih berfungsi dijangka akan menuju ke sebuah bintang yang dinamakan AC +793888 - yang mana para saintis tidak yakin yang ia boleh sampai ke jarak sejauh itu.

Pada masa yang sama, para saintis juga menjangkakan dalam tempoh 15 tahun dari sekarang generator plutonium yang menghasilkan tenaga elektrik sebagai kuasa pengerak Voyager 1 akan berhenti menghasilkan tenaga.

Apabila ini berlaku, transmiter Voyager akan terpadam dengan sendiri dan berhenti menghantar pulang data ke bumi.

Pada saat dan ketika itu, apa yang akan berlaku ialah Voyager 1 akan terapung-apung di angkasa lepas sendirian tanpa hala dan tuju.

Pada 25 Ogos tahun lalu, Nasa telah menerima data yang dihantar pulang oleh Voyager 1 yang merekodkan perubahan drastik pada tahap radiasi yang dikutipnya.

Perubahan tahap radiasi ini memberi indikasi bahawa kapal angkasa itu mungkin telah sampai ke penghujung sistem solar dan melintasi apa yang dipanggil "heliocliff" yang mana tenaga partikel yang terhasil daripada ribut matahari tidak dapat dikesan lagi.

Sementara para saintis masih berdebat sama ada Voyager 1 telah benar-benar melepasi sempadan sistem solar, sesuatu yang pasti dan dipersetujui ialah kapal angkasa itu kini berada di suatu kawasan angkasa yang tidak dikenali yang tidak pernah diterokai oleh manusia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain