suria

Lego Akan Bina Kilang Di China Penuhi Pasaran Asia

COPENHAGEN: Pengeluar permainan dari Denmark, Lego pada Isnin berkata, ia akan membina sebuah kilang di China yang akan mengambil seramai 2,000 pekerja bagi memenuhi perkembangan pasaran Asianya.

Pembinaan kilang berkeluasan 120,000 meter persegi di Jiaxing, kira-kira 100 kilometer dari Shanghai dijangka bermula pada awal tahun depan, kata syarikat kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Monterry, Mexico merupakan kilang Lego di luar Eropah pertama selepas pembukaannya pada tahun 2009.

Sehingga kini, produk yang dijual di Asia telah dibawa dari Eropah.

Pengeluar permainan ketiga dunia itu menyifatkan Asia sebagai “satu pasaran yang kecil” dalam laporan tahunan 2012nya tetapi pada Isnin berkata, ia menunjukkan perkembangan tahunan lebih 50 peratus sejak beberapa tahun.

“Berdasarkan jangkaan semasa kami untuk pertumbuhan di Asia, kilang ini dapat membekalkan kira-kira 70 sehingga 80 peratus bagi semua produk Lego yang di rantau itu pada 2017,” kata Michael McNulty, seorang naib presiden kanan syarikat itu.

“Kilang baru itu akan dibina dan beroperasi menggunakan teknologi, automasi dan standard yang sama untuk keselamatan pekerja dan kualiti produk seperti mana kilang-kilang Lego di Denmark, Hungary, Republik Czech dan Mexico,” tambahnya.

Lego berkata, ia akan menjadikan pelaburan “tiga angka” juta euro dalam pelan itu. - AFP

Artikel Lain