suria

Hubungan Malaysia-China Terus Erat Di Bawah Kepimpinan Baru China - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan keyakinan bahawa di bawah pucuk pimpinan baru China, hubungan istimewa dan akrab antara Kuala Lumpur dengan Beijing akan terus berkembang dan meningkat ke tahap lebih tinggi.

Perdana Menteri mengambil perhatian bahawa Malaysia dan China telah sekian lama menikmati kerjasama gemilang dalam pelbagai bidang kepentingan seperti politik, ekonomi, kewangan, pelancongan, pendidikan, keselamatan dan kebudayaan.

Najib menyatakan demikian dalam perutusan tahniahnya kepada Presiden baru Xi Jinping, dan Perdana Menteri Majlis Negara China Le Keqiang.

Dalam perutusannya kepada Xi Jinping, Najib berkata: "Saya yakin Tuan Yang Terutama akan meneruskan komitmen yang kukuh dan tidak berganjak ke arah mempertingkat hubungan dengan Malaysia sebagaimana pernah ditunjukkan oleh pemimpin sebelum tuan".

Sementara dalam perutusannya kepada Le Keqiang, Najib berkata: "Saya yakin di bawah teraju kepimpinan tuan yang cukup berkebolehan, China akan terus mencapai kemajuan dan kemakmuran lebih besar".

Najib juga menyampaikan undangan kepada Le Keqiang untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat demi memperkukuh hubungan persahabatan yang sedia wujud antara kedua-dua negara. -BERNAMA

Artikel Lain