suria

Kaji Selidik: Prabowo Calon Presiden Indonesia 2014 Paling Unggul

JAKARTA: Kaji selidik terkini oleh sebuah badan penyelidikan antarabangsa mendapati Pengerusi Lembaga Penyelia Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) Prabowo Subianto muncul calon paling popular untuk pilihan raya umum Presiden Indonesia 2014.

Prabowo yang juga bekas menantu Presiden Soeharto, mendahului dengan 35 peratus pilihan responden diikuti Pengerusi Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P) Megawati Soekarnoputri (20 peratus) dan bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla (12 peratus), menurut keputusan kaji selidik oleh Taylor Nelson Sofres (TNS).

Kaji selidik itu merupakan inisiatif National Leadership Centre (NLC - Pusat Kepimpinan Nasional) bagi mengetahui kecenderungan rakyat terhadap calon-calon presiden Indonesia yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum presiden pada tahun 2014.

Keputusan yang diperolehi untuk tokoh-tokoh lain sebagai calon presiden 2014 ialah seperti berikut:

Pengerusi Parti Golkar Aburizal (tujuh peratus), Pengerusi Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) Wiranto (empat peratus), Sultan Yogyakarta Hamengkubuwono ke-10 (empat peratus), Menteri Syarikat Berkaitan Kerajaan Indonesia Dahlan Iskan (empat peratus), Pengerusi Parti Amanat Nasional (PAN) Hatta Rajasa (dua peratus), Ketua Mahkamah Konstitusi Indonesia Mahfud MD (dua peratus), Wanita Pertama Indonesia Ibu Ani Yudhoyono (satu peratus) dan bekas Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati (satu peratus).

Hasil kaji selidik itu diumumkan bersama oleh Penasihat Teknikal TNS Indonesia Yanti Zen dan Pengarah NLC Taufik Bahaudin pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Kaji selidik itu dijalankan selama enam hari dari 14 hingga 19 Januari lalu dengan menetapkan kadar kesalahan boleh diterima kurang dari empat peratus, telah membabitkan 2,020 responden yang dipilih secara rawak di 31 provinsi (negeri) di Indonesia.

Mengenai parti-parti politik yang menjadi pilihan rakyat, ia mendapati Parti Gerindra menduduki tempat pertama diikuti oleh PDI-P, Golkar, Demokrat, Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Nasdem, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), PAN dan Hanura.

Mengenai kriteria yang menjadikan seseorang tokoh itu menjadi pilihan rakyat, Bahaudin berkata kaji selidik itu tidak melihat secara mendalam mengenai perkara itu namun beliau percaya rakyat lebih cenderung memilih tokoh yang paling mereka sukai. - BERNAMA

Artikel Lain