suria

Bekas Presiden Maldives Tinggalkan Kedutaan India

MALE (Maldives): Bekas presiden Maldives meninggalkan Kedutaan India di negara ini pada Sabtu, selepas mendapatkan perlindungan di sana selama 10 hari kerana berkata kehidupannya terancam.

Mohamed Nasheed tiba di kedutaan pada 13 Februari selepas mahkamah mengarahkan beliau ditangkap kerana tidak menghadiri perbicaraan atas tuduhan mengarahkan penahanan seorang hakim kanan secara tidak sah, satu tindakan yang membawa kepada kejatuhan kuasanya pada tahun lepas.

Mahkamah mengeluarkan waran kedua semasa Nasheed berlindung di kedutaan, tetapi polis tidak dapat melaksanakannya kerana mereka tidak dibenarkan memasuki bangunan diplomatik.

Nasheed berkata kes ini bermotifkan politik untuk tidak melayakkan beliau daripada bertanding pilihan raya presiden yang dijadualkan pada September.

Nasheed tidak menjelaskan mengapa beliau meninggalkan kedutaan pada Sabtu, tetapi berkata beliau percaya akan bebas mengambil bahagian dalam politik.

Sebelum ini, partinya telah mengeluarkan kenyataan bahawa Nasheed hanya akan meninggalkan kedutaan jika pemerintah sementara kerajaan dilantik untuk menyelia pilihan raya.

Partinya juga berkata, Presiden Mohammed Waheed Hassan, yang pernah menjadi timbalan presiden Nasheed,tidak boleh dipercayai untuk mengadakan pilihan raya yang adil.

Jurucakap kerajaan Masood Imad berkata tiada kompromi telah dicapai dengan Nasheed mengenai kes terhadapnya.

Nasheed menjadi presiden pertama yang dipilih secara demokratik di kepulauan Lautan India ini pada tahun 2008, menamatkan autokrasi 30-tahun.

Beliau meletak jawatan pada tahun lepas berikutan protes awam selama berminggu-minggu berhubung perintahnya menangkap hakim.

Artikel Lain