suria

Ketua Umum Parti Demokrat Suspek Kes Rasuah

JAKARTA: Parti Demokrat yang diasas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono menerima satu lagi tamparan apabila Ketua Umum parti itu Anas Urbaningrum menjadi suspek satu kes rasuah.

Jurucakap Suruhanjaya Pembenterasan Rasuah (KPK) Johan Budi mengumumkan pada sidang akhbar malam ini bahawa KPK mempunyai bukti yang cukup kuat untuk menetapkan Anas sebagai suspek kes rasuah projek pembinaan Kompleks Sukan Bukit Hambalang di Bogor, Jawa Barat.

Beliau berkata keputusan suruhanjaya itu tidak ada kaitan dengan parti atau politik dan menegaskan tidak ada sebarang campur tangan oleh mana-mana pihak terhadap KPK dalam urusan itu.

Sebelum ini, KPK menetapkan seorang lagi pemimpin parti Demokrat iaitu Andi Mallarangeng, yang pada masa itu menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, juga sebagai suspek kes sama.

Andi meletakkan jawatan sebaik sahaja beliau menjadi suspek kes rasuah itu.

Presiden Yudhoyono, selaku Ketua Majlis Tertinggi Parti Demokrat pada Ahad lepas, bermesyuarat di Jakarta bersama pemimpin parti itu termasuk Anas, untuk membincangkan langkah menyelamatkan parti selepas ia semakin hilang sokongan rakyat berikutan skandal rasuah beberapa pemimpinnya.

Sebelum ini, dua bekas pemimpin parti itu, yang juga bekas anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), dihukum penjara dan denda kerana jenayah rasuah.

Minggu lepas, Setiausaha Agong Parti Demokrat Edhie Baskoro Yudhoyono atau Ibas, yang juga anak lelaki Yudhoyono, mengundurkan diri sebagai anggota DPR Indonesia dengan alasan ingin menumpukan perhatian kepada tugas parti. Semasa mengumumkan peletakan jawatannya, Ibas berkata beliau memikul tanggungjawab dan harus bekerja keras untuk melakukan langkah-langkah bagi menyelamatkan Parti Demokrat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Rakyat Itali Mula Mengundi

Artikel Berikut

Artikel Lain