suria

Indonesia Bimbang Ujian Nuklear Bawah Tanah Korea Utara

JAKARTA: Kerajaan Indonesia melahirkan kebimbangan berhubung tindakan Korea Utara mengadakan ujian nuklear bawah tanah pada Selasa di sebalik rayuan banyak pihak, kata Menteri Luar Indonesia Marty Natalegawa.

Ujian itu terus dijalankan meskipun negara itu mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu resolusi 1718 (2006), 1874 (2009) dan 2087 (2013).

"Tindakan terkutuk ini, yang membawa risiko bertambahnya senjata pemusnah besar-besaran dan berpotensi menjejaskan kestabilan rantau itu, tidak boleh dibiarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada peringkat yang genting ini, Marty berkata semua pihak perlu mengelak daripada aktiviti yang menjejaskan keamanan dan kestabilan.

Beliau berkata adalah penting agar diplomasi dan dialog diberi keutamaan bagi memastikan keamanan serta kestabilan di Semenanjung Korea.

"Indonesia menggesa supaya diteruskan Perundingan Enam Pihak dan penggunaan mekanisme dialog/perundingan yang lain, termasuk Forum Serantau Asean," katanya. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain