PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pada Khamis merayu kepada Korea Utara untuk tidak menjalankan satu lagi ujian nuklear dan melakukan lebih banyak perkara untuk kesejahteraan rakyat yang berdepan situasi kemanusiaan yang terdesak.Beliau memberitahu sekumpulan wartawan bahawa PBB telah cuba menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Korea Utara tetapi disebabkan kemungkinan krisis dan ketegangan nuklear di semenanjung Korea, tindak balas yang diterima daripada penderma antarabangsa sangat rendah. Hasilnya, Ban berkata, beliau perlu memohon pelepasan dana kecemasan PBB bagi mendapatkan wang untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada Korea Utara, yang secara rasmi dikenali sebagai Republik Rakyat Demokratik Korea atau DPRK."Saya cuma berharap, dan sekali lagi sangat merayu kepada pihak berkuasa DPRK agar mereka mendengar rayuan dan menggesa masyarakat antarabangsa mematuhi semua resolusi Majlis Keselamatan dan melakukan lebih banyak tindakan untuk kesejahteraan rakyat mereka sendiri," katanya.Korea Utara pada bulan lalu mengumumkan akan menjalankan ujian nuklear untuk membantah sekatan Majlis Keselamatan PBB.