suria

Keluarga Miskin Jadi Sasaran Sindiket Jual Bayi Di Jakarta

JAKARTA: Polis Jakarta membongkar satu sindiket penjualan bayi dengan penangkapan tujuh wanita termasuk seorang bekas bidan, yang menyasarkan keluarga miskin sebagai sumber mendapatkan bayi untuk dijual.

Bayi berkenaan dijual kepada para pembeli di Indonesia dan di luar negara termasuk ke Singapura, dengan harga antara Rp70 juta hingga Rp80 juta seorang.

Jurucakap polis berkata modus operandi sindiket itu ialah dengan menawarkan pinjaman wang kepada keluarga miskin yang tidak mampu membayar kos rawatan bersalin di hospital dan mensyaratkan ibu bapa meninggalkan bayi yang baru dilahirkan itu kepada mereka, sebagai jaminan sehingga hutang itu selesai dibayar.

Bayi berkenaan bagaimanapun dijual oleh sindiket itu kepada para pembeli tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

Pihak polis percaya ada juga ibu bapa sengaja menjualkan bayi mereka kepada sindiket itu kerana faktor ekonomi sebelum bayi berkenaan dijual semula oleh sindiket itu dengan harga lebih tinggi.

Siasatan polis mendapati bahawa sebelum bayi dijual, sindiket itu telah menyiapkan surat beranak dan kad pengenalan keluarganya yang asli tetapi mengandungi butiran diri yang palsu.

Kedua-dua dokumen pengenalan diri itu kemudian digunakan untuk membuat pasport bayi yang akan dijual ke luar negara. Pihak polis tidak menolak kemungkinan adanya kerjasama antara suspek dalam sindiket itu dengan hospital tertentu, namun perkara itu masih disiasat.

Setakat ini kes penjualan bayi oleh sindiket itu belum melibatkan bayi yang dicuri dari hospital, namun polis akan turut menyiasat kemungkinan itu.

Sindiket itu terbongkar di suatu tempat di Jakarta Barat di mana polis menjumpai lima orang bayi yang dipercayai akan dijual oleh sindiket berkenaan.

Sementara itu satu laporan memetik Pengerusi Suruhanjaya Nasional Perlindungan Kanak-kanak Indonesia, Arist Merdeka Sirait sebagai berkata bahawa pada tahun lalu (2012) sejumlah 182 kes penjualan kanak-kanak dilaporkan berlaku di Indonesia dan daripada jumlah itu 37 kes berlaku di hospital bersalin, pusat kesihatan masyarakat dan klinik bersalin.

Ada di antara bayi itu dijual hingga ke Singapura, Malaysia, Taiwan, Australia dan Eropah Timur, katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain