suria

Krisis Tebusan Algeria: Kerajaan Asing Bimbang Nasib Rakyat Ditawan Militan

ALGIERS: Kerajaan asing pada Khamis menyuarakan kebimbangan mengenai nasib rakyat mereka yang ditawan oleh kumpulan militan di kilang pemprosesan gas di kawasan padang pasir di Algeria, di mana operasi menyelamat penuh dramatik berlaku sehingga mengakibatkan beberapa tebusan terbunuh.

Ahli keluarga tebusan dalam keadaan tegang menunggu berita daripada serbuan yang dilakukan ke atas kawasan itu, apabila pegawai pasukan khas Algeria berkata, pihaknya telah bertindak mengawal kawasan kompleks itu, di mana beratus-ratus tebusan ditahan.

Tetapi tentera masih berada di sekitar kompleks pemprosesan gas di In Amenas, yang masih belum dilindungi, dan negara-negara asal bagi pekerja yang hilang menggesa pihak berkuasa Algeria memastikan supaya tebusan tidak dicederakan.

Menteri Komunikasi, Mohamed Said berkata, “beberapa orang” telah terbunuh atau cedera, dan “sejumlah besar” tebusan dibebaskan di tapak berkenaan yang dikendalikan oleh syarikat gergasi minyak British, BP dan syarikat Norway, Statoil dan syarikat bekalan kuasa Sonatrach.

Kilang yang besar itu mempunyai pekerja-pekerja dari Britain, Amerika Syarikat (AS), Jepun, Perancis, Itali, Norway dan lain-lain, dan kerajaan dan majikan mereka menyuarakan kebimbangan.

“Kami tidak mengetahui mengenai serbuan lebih awal,” kata pegawai kanan AS kepada AFP, sambil menambah bahawa pegawai AS “menggesa” pihak berkuasa Algeria untuk memastikan keselamatan tebusan sebagai keutamaan mereka.

Syarikat pembinaan Jepun, JGC berkata, ia mengesahkan bahawa tiga pekerja warga Jepun di Algeria selamat, manakala keadaan 14 yang lain masih belum diketahui.

Kumpulan penculik itu, yang mendakwa mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda berkata, serangan tentera udara dan darat terhadap kompleks berhampiran dengan sempadan Libya itu telah menyebabkan 34 tebusan terbunuh, tetapi adalah mustahil untuk mengesahkannya dengan jelas.

Penculik itu memberitahu agensi berita Mauritania, ANI bahawa mereka akan “membunuh” semua tebusan sekiranya pasukan khas Algeria berjaya memasuki kompleks itu.

Mereka mendakwa bertindak begitu sebagai membalas dendam terhadap serangan Perancis menentang kumpulan militan di Mali.

Menteri Dalam Negeri Algeria, Dahou Kablia berkata, penyerang datang dari seluruh kawasan berdekatan dengan sempadan Libya, petik laporan risikan.

Perdana Menteri Britain, David Cameron, yang membatalkan ucaptama mengenai dasar Eropah untuk memantau krisis itu, menyifatkan “keadaan yang sangat buruk” di kawasan itu, di mana sejumlah rakyat Britain ditawan menjadi tebusan.

“Kita sudah mengetahui seorang telah meninggal dunia. Pasukan bersenjata Algeria kini menyerang kawasan ini,” kata Cameron.

“Ia amat berbahaya, sangat tidak menentu, keadaan yang sangat berubah-ubah, dan saya fikir kita perlu mempersiapkan diri untuk sebarang kemungkinan berita buruk,” katanya lagi.

Presiden Perancis, Francois Hollande berkata, beliau menerima kemas kini dari masa ke semasa mengenai keadaan yang “dasyhat”, yang dikutuk oleh Jepun sekeras-kerasnya.

Menteri Luar Itali, Giulio Terzi menyifatkan kematian tebusan sebagai “akibat perbuatan keganasan yang kejam dan keji”.

Kumpulan militan menawan kawasan itu pada Rabu dalam satu serangan yang menyebabkan dua terbunuh.

Laporan media Algeria berkata, hampir 600 pekerja tempatan dan empat warga asing, iaitu dua dari Britain, seorang dari Perancis dan seorang dari Kenya, dibebaskan dalam operasi menyelamat pada Khamis.

Kerajaan Ireland berkata, salah seorang daripada rakyatnya telah dibebaskan.

Seramai 41 warga asing dilaporkan sebagai antara yang menjadi tebusan.

Dua daripada mereka yang menjadi tebusan merupakan rakyat Malaysia. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain