suria

PM Pakistan Pecat Ketua Menteri Baluchistan Selepas Pembunuhan Beramai-ramai Puak Syiah

QUETTA (Pakistan): Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervez Ashraf pada Isnin mengumumkan pemecatan Ketua Menteri Baluchistan, Aslam Raisani ekoran kejadian dua letupan bom yang mengorbankan beratus-ratus penganut fahaman Syiah baru-baru ini.

Ketika kejadian itu berlaku Aslam dikatakan berada di London untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

Bagaimanapun tidak dijelaskan apa bentuk rawatan yang diterimanya di London.

Langkah pemecatan itu terpaksa diambil selepas ahli keluarga mangsa enggan mengebumikan mereka yang terkorban kerana memprotes tiadanya perlindungan kerajaan pusat dan wilayah ke atas penganut fahaman Syiah di wilayah bergolak itu.

Dalam kejadian Khamis lalu, pengebom berani mati telah meletupkan dirinya di sebuah pusat snuker di sini mengorbankan 92 orang.

Lebih kurang 120 orang lagi telah disahkan tercedera dalam kejadian itu yang didakwa dilakukan oleh puak militan Suni yang dinamakan Lashkar-e-Jhangvi.

Penganut fahaman Syiah di Pakistan sebahagian besarnya terdiri daripada kalangan etnik Hazara.

Perdana Menteri, Raja Pervez Ashraf telah melakukan kunjungan segera ke sini pada Ahad untuk bertemu dan bersemuka dengan ahli keluarga mangsa dan juga para pemimpin etnik Hazara.

Dan selepas pertemuan itu yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen rasmi negeri, Raja Pervez mengumumkan yang beliau bersetuju untuk menerima hampir kesemua tuntutan puak Hazara dan Syiah termasuklah memecat ketua menteri dan kerajaan negeri Baluchistan kerana gagal memberi perlindungan kepada kaum minoriti di wilayah itu.

Beliau juga bersetuju untuk meletakkan Baluchistan di bawah undang-undang darurat selama dua bulan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan kawalan keselamatan yang lebih ketat.

Artikel Lain