suria

Konsulat Malaysia di New York Buat Persiapan Hadapi PRU13

NEW YORK: Konsulat Malaysia di sini sedang membuat persiapan untuk memudahkan rakyat Malaysia yang tinggal di Amerika mengundi pada pilihan raya umum ke-13.

Oleh kerana bidang kuasa Konsulat Malaysia di New York meliputi 17 negeri, maka semua pemegang pasport Malaysia di negara ini boleh datang ke New York untuk mengundi, kata Konsul Jeneral Malaysia Syed Mohammed Bakri kepada Bernama di sini.

Beliau bagaimanapun menasihati warga Malaysia yang ingin mengundi pada pilihan raya itu supaya terlebih dahulu membaca dan memahami garis panduan yang ditetapkan bagi pengundi di seberang laut yang terdapat dalam laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengelak sebarang kekeliruan.

"Rakyat Malaysia yang tinggal di seberang laut terlebih dahulu perlu berdaftar dengan SPR dan mendapat pengesahan sebagai pengundi yang layak berbuat demikian, sebelum datang ke konsulat ini untuk mengundi," katanya.

Kini, terdapat kira-kira 15,500 rakyat Malaysia di 17 negeri berkenaan mendaftarkan diri dengan konsulat itu. Bagaimanapun, Syed Bakri menganggarkan jumlah rakyat Malaysia yang tinggal di New York mencecah 100,000 orang.

Sementara itu, Syed Bakri berkata azam beliau pada 2013 ialah untuk meningkatkan hubungan dengan golongan peniaga Malaysia di pantai barat negara ini dan mendapatkan lebih banyak maklumat tentang jenis bantuan yang boleh dihulurkan pihaknya kepada mereka.

"Kami ingin menawarkan khidmat kami kepada golongan peniaga Malaysia di Amerika untuk meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

"Ada peniaga Malaysia menjalankan operasi pembuatan termasuk dalam bidang pengeluaran perabot di pantai barat dan saya ingin membawa bersama wakil MIDA dan MATRADE untuk bertemu mereka," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain