suria

Mangsa Rogol Beramai-Ramai Meninggal Dunia Di Singapura

SINGAPURA: Wanita India yang menjadi mangsa rogol beramai-ramai dalam sebuah bas di New Delhi, meninggal dunia awal pagi Sabtu di hospital Singapura selepas mengalami kerosakan organ yang teruk, termasuk otak.

Pihak berkuasa di India dilaporkan sudah bersiap sedia dengan kemungkinan berita kematiannya itu membawa protes dan keganasan yang lebih besar dengan polis pencegah rusuhan mula ditempatkan di ibu negara itu.

Wanita berusia 23 tahun itu diterbangkan ke Singapura pada Khamis selepas diserang lima lelaki dalam sebuah bas yang dinaikinya pada 16 Disember lalu.

Mangsa dilaporkan dirogol dan dipukul dengan batang keluli sebelum dicampakkan keluar dari bas tersebut.

Beberapa pengamal perubatan mengkritik mengenai keputusan memindahkan rawatan mangsa ke luar negara.

“Kami amat sedih apabila menerima berita bahawa mangsa meninggal dunia pada pukul 4.45 pagi waktu tempatan hari ini (Sabtu)," kata Kelvin Loh, Ketua Eksekutif Mount Elizabeth Hospital.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi India ke Singapura T.C.A. Raghavan dipetik oleh akhbar tempatan, The Straits Times, sebagai berkata bahawa keluarganya mahu jenazahnya diterbangkan ke India.

Wanita itu diiiringi ibu bapa dan dua adik lelakinya ke Singapura.

Raghavan berkata pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan nyawa pelajar itu, di India dan Singapura.

Dia diterbangkan ke Singapura agar mendapat rawatan perubatan terbaik.

Singapura menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga pelajar itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain