Mangsa Taufan Bopha Di Filipina Perlu Bahan Perlindungan Sementara - Dunia | mStar

Mangsa Taufan Bopha Di Filipina Perlu Bahan Perlindungan Sementara

DAVAO: Penduduk di Baganga di selatan Filipina yang dilanda taufan Bopha kini amat memerlukan bahan perlindungan sementara dan kemudahan asas seperti tandas.

Komander Batalion Infrantri 67IB Lt Kolonel Krishnamurti Mortela berkata setakat ini bantuan makanan adalah mencukupi. Bantuan itu disumbangkan oleh pelbagai NGO, sejak taufan Bopha melanda pada 3 Disember.

"Terdapat 19,000 keluarga di Banganga yang memerlukan bahan perlindungan seperti khemah dan tandas serta kit cucian untuk kegunaan harian.

"Kesemua 31 sekolah di Baganga musnah, jadi kami memerlukan kira-kira 1,000 kabin untuk dijadikan bilik kelas dan perlindungan sementara," katanya pada sidang akhbar selepas agihan bantuan oleh Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) di Barangay Lucod, Baganga di sini Isnin.

Mortela yang juga Ketua Pos Koman Insiden di Baganga berkata mereka juga berharap kerajaan Malaysia dapat membantu mangsa membina semula rumah mereka dan memulihkan bekalan elektrik.

Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata setakat ini pihaknya telah mengagihkan bantuan kepada penduduk kampung di Barangay Lucod dan akan meneruskannya di kawasan lain.

Lebih 1,700 mangsa menerima bantuan kemanusiaan dari KP1M termasuk keperluan asas seperti beras, kit cucian dan beberapa makanan krismas terutama untuk kanak-kanak.

"Esok, kita akan teruskan misi agihan bantuan ke kawasan Carteel dan Boston," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Pihak Berkuasa Dominican Rampas 1,000kg Dadah

Artikel Berkaitan

Artikel Lain