suria

Kisah Hidup Soekarno Akan Difilemkan

JAKARTA: Kisah hidup Soekarno, Presiden Indonesia pertama dan tokoh pejuang kemerdekaan republik itu, yang selama ini hanya diceritakan dalam buku-buku, akan difilemkan untuk pertama kalinya selepas 42 tahun kematiannya.

Filem bertajuk "Soekarno: Indonesia Merdeka" itu, dijangka dapat ditayangkan kepada orang ramai pada Ogos tahun depan, sempena bulan kemerdekaan dan perayaan sambutan ulang tahun ke-68 Indonesia.

Hanung Bramantyo akan mengarahkan filem itu dan penerbitannya turut melibatkan salah seorang anak perempuan Soekarno iaitu Rachmawati Soekarnoputri selaku penerbit bersama dengan Raam Punjabi.

Pengumuman mengenai penerbitan filem itu diumumkan pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Hanung berkata pembikinan filem itu merupakan cabaran besar baginya kerana ia adalah sebuah filem biografi sejarah yang harus disandarkan kepada fakta-fakta sebenar. Beliau memerlukan masa kira-kira enam bulan untuk menyiapkan jalan ceritanya dengan melibatkan para penulis berpengalaman dan sejarawan tempatan.

Kisah hidup Soekarno akan dibahagikan kepada dua buah filem iaitu "Soekarno: Indonesia Merdeka" dan "Soekarno: Hari-Hari Terakhir", kata Hanung.

Rachmawati berkata Soekarno merupakan tokoh besar di Indonesia tetapi juga mempunyai kontroversi.

Beliau berharap semua pihak dapat menerima jalan cerita filem itu nanti.

Hanung sehingga ini belum mengenal pasti pelakon yang sesuai untuk watak Soekarno dan watak-watak lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain