OIC Hantar Duta Khas Ke Myanmar

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melantik bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, yang juga pengerusi Palang Merah negara berkenaan, sebagai duta khas ke Myanmar, berikutan konflik yang melibatkan komuniti Islam Rohingya.

Keputusan untuk melantik duta itu dibuat pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Islam kali keempat di Makkah pada Ogos, kata OIC dalam kenyataan.

OIC akan turut menghantar seorang pegawai perhubungan untuk menilai keperluan bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas di negeri Rakhine.

Sementara itu, dalam jawapan kepada sepucuk surat yang diutus oleh Setiausaha Agung OIC Ekemeleddin Ihsanoglu, Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Navanethem Pillay, menyambut baik minat dan sokongan OIC terhadap isu Rohingya.

Dalam suratnya, Ihsanoglu menyuarakan kebimbangan OIC dan negara anggotanya berhubung kedudukan penduduk minoriti Islam Rohingya, yang terdedah kepada pencabulan hak asasi manusia, penindasan dan pembersihan etnik yang teruk.

Dalam jawapannya, Pillay berkata beliau berkongsi kebimbangan Ihsanoglu berhubung diskriminasi yang berlarutan terhadap komuniti Rohingya di negeri Rakhine dan keganasan yang tercetus baru-baru ini antara komuniti di negeri berkenaan.

Dalam suratnya itu, beliau turut mengepilkan laporan oleh Pelapor Khas Tomas Ojea Quintana mengenai kedudukan hak asasi manusia di Myanmar.

Surat itu dikemukakan pada sesi ke-67 Perhimpunan Agung PBB pada September.

Pelapor Khas itu secara khusus menyarankan agar kerajaan, antara lain, mengambil langkah untuk menangani diskriminasi endemik terhadap komuniti Rohingya dan memastikan hak asasi kemanusiaan mereka dihormati, yang perlu turut merangkumi semakan semula Akta Kewarganegaraan 1982. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain