suria

Rakyat Kazakhstan Sambut Hari Kemerdekaan Dalam Suasana Akrab

ASTANA (KAZAKHSTAN): Dalam cuaca dingin sehingga bawah 41 darjah selsius tidak pula menghalang rakyat Kazakhstan menyambut Hari Kemerdekaannya dalam suasana gembira, akrab dan penuh semangat.

Tarikh 16 Disember merupakan hari paling penting dalam sejarah negara Kazakhstan dengan rakyatnya daripada pelbagai taraf hidup menghiasi kediaman manakala hampir seluruh bangunan, pusat beli belah, bazar dan jalan-jalan utama dipasang dengan hiasan bendera kebangsaan yang berkibar. Menurut satu siaran saluran berita tempatan persendirian, hari ini adalah cuti umum negara. Kebanyakan saluran radio dan televisyen menyiarkan lagu-lagu nasional serta menyediakan program khas sempena Hari Kemerdekaan di samping konsert dan ceramah mengenai kemerdekaan.

Ia jelas menjadi bukti semangat nasionalisme dan perpaduan rakyat Kazakhstan. Bagi generasi muda, harapan mereka ialah melihat negara yang mempunyai penduduk seramai 17 juta orang terdiri daripada 140 suku etnik dan kumpulan agama bergerak maju ke hadapan serta membangun. Mendiami dalam negara Kazakhstan yang

dikepong daratan kaya dengan hasil minyak yang banyak, sumber gas dan uranium di Asia Tengah, rakyatnya sedar bahawa mereka memikul tanggungjawab untuk terus menggiatkan pembangunan negara. Seorang penyambut tetamu di sebuah hotel yang hanya mahu dikenali sebagai Asemgul, 19, berkata golongan muda perlu menghargai nilai kebebasan dan kemerdekaan yang mereka capai supaya dapat menyumbang usaha memajukan negara.

"Sebagai generasi muda, mereka perlu tahu bagaimana berkhidmat dan menyumbang terhadap kerajaan. Selain itu, mereka hendaklah berbangga dengan identiti diri yang tinggi dan sentiasa memikirkan tentang kemajuan negara," katanya kepada Bernama.

Beliau menghargai peranan kerajaannya sekarang di bawah pentadbiran Presidennya yang pertama dipilih, Nursultan Nazarbayev, kerana kemajuan negara yang memberansangkan dan berharap pembangunan yang bermakna dapat diperoleh.

"Kini banyak negara ingin mengadakan kerjasama dua hala dengan Kazakhstan di samping menjalin hubungan perniagaan, termasuklah Malaysia, China dan Amerika Syarikat. Ia suatu pencapaian baik," kata Asemgul dengan rasa bangga.

Di segi ekonomi, Kazakhstan menjadi salah sebuah negara yang paling pesat membangun di dunia. Keluaran per kapita dalam negara kasar meningkat dari AS$700 (RM2,100) pada 1994 kepada AS$11,300 (RM33,900) tahun ini.

Sehingga ke hari ini Kazakhstan telah menarik masuk pelaburan asing bernilai lebih AS$160 bilion (RM480 bilion).

Nazarbayev dalam perutusan Hari Kemerdekaan, berkata lebih 20 tahun telah berlalu sejak Kazakhstan mula dengan bangganya merayakan hari agung ini yang merupakan sesuatu yang negara perlu berbangga.

"Hari ini kami sudah menjadi negara yang berjaya memiliki rupa bangsa, perspektif dan identiti tersendiri. Kami membayar harga sangat tinggi untuk mencapai ke tahap ini. Selama 20 tahun negara bekerja keras mengukuhkan kedaulatan dan pengaruh politik, suatu sasaran yang telahpun kami capai.

"Pembentukan negara kita sudah berjaya diselesaikan," katanya semasa berucap di upacara perasmian opera dan teater ballet di sini Jumaat lepas.

Beliau berkata pembangunan Astana, yang menjadi ibu negara baharu bagi Kazakhstan sejak 1997 jelas menunjukkan usaha kerajaan membina sebuah bandar raya moden dan berdaya maju.

Astana adalah bandar raya kedua terbear selepas Almaty yang dahulunya menjadi ibu negara Kazakhstan. Ia terletak di satu lokasi terpenncil di tengah-tengah Kazakh Steppe, yang merupakan ibu negara yang kedua paling dingin di dunia bersebelahan Ulaanbaatar, Mongolia.

Astana adalah sebuah bandar raya cantik bertenaga mempunyai seramai kira-kira 770,400 penduduk, yang merupakan antara ibu negara paling termuda usianya di dunia. -BERNAMA

Artikel Lain