suria

MAS Sasar Faktor Muatan 80 Peratus Guna A380 Ke Paris Tahun Depan

AMSTERDAM: Malaysia Airlines (MAS) menjangka faktor muatan 80 peratus bagi laluan harian Kuala Lumpur-Paris-Kuala Lumpur apabila menggunakan pesawat Airbus A380 mulai 1 Mac tahun depan bagi menggantikan Perkhidmatan harian semasa pesawat Boeing B777.

"Perancis adalah negara yang sangat besar. Ramai rakyat Perancis mengembara ke luar negara itu dan pada masa yang sama, banyak urus niaga dijalin antara kerajaan/ahli perniagaan Malaysia dan kerajaan/ahli perniagaan Perancis serta di negara-negara Eropah yang lain," kata Naib Presiden Kanan bagi UK dan Eropah Mas Huib Gorter.

Tambahan pula, katanya Malaysia menjadi sebahagian daripada sektor pelancongan yang semakin berkembang di Asia Pasifik dan negara itu sendiri merupakan destinasi menarik bagi rakyat Eropah walau pun semasa krisis ekonomi dan kewangan di beberapa rantau dunia.

"Satu daripada perkara utama ialah menetapkan harga produk anda secara kreatif dan pada masa yang betul. Kita mempunyai syarikat penerbangan yang sangat baik bersaing dengan kita dan kita jangan hilang fokus, kita perlu berada di hadapan dan saya rasa kita telah melakukannya dengan baik," katanya kepada wartawan Malaysia yang menghadiri Hari Media Global IATA 2012 yang baru sahaja berakhir di Geneva.

Walaupun berhadapan tinjauan ekonomi zon euro yang suram, Gorter menjangka tahun depan akan muncul sebagai tahun yang gemilang bagi MAS di Eropah kerana pesawat A380 akan meningkatkan prestasi jenama Mas.

Beliau berkeyakinan bahawa dengan pengenalan A380 ke dalam perkhidmatan yang menyediakan banyak keselesaan, kemewahan dan kemudahan bagi pengembaraan jarak jauh, "kita boleh menjangka bilangan penumpang akan meningkat lebih ramai lagi."

Pesawat A380 berkapasiti 494 tempat duduk dalam konfigurasi tiga kelas yang terdiri daripada lapan kelas pertama dan 350 kelas ekonomi pada dek utama bersama-sama dengan 66 tempat duduk kelas perniagaan dan 70 tempat duduk kelas ekonomi pada dek atas.

Gorter berkata melalui penggunaan pesawat jenis itu pada laluan popular Eropah (London dan Paris), MAS akan dapat menawarkan produk dan perkhidmatan premium terbaharu kepada para pengembara dan ini juga akan meningkatkan kedatangan pelancong ke Malaysia pada tahun depan.

Sejak Mas memulakan operasi pesawat A380 pada laluan KL-London pada 1 Julai, 2012, respons para pelanggan sangat mengharukan, katanya, sambil menyatakan bahawa kini faktor muatan penumpang meningkat 22 peratus dari London ke KL.

Gorter berkata walau pun UK merupakan pasaran MAS di Eropah, Paris juga boleh menjadi satu lagi destinasi berprofil tinggi, diikuti oleh Belanda, Jerman dan Turki.

Kini, penerbangan langsung dari Eropah ke Malaysia (termasuk perkongsian kod) ialah dari Amsterdam (17), Frankfurt (sembilan), London (14), Paris (harian) dan Istanbul (3), di mana 14 dikendalikan oleh MAS.

Sementara itu, bagi meningkatkan ketibaan pelancong ke Malaysia, Gorter berkata Mas akan bekerja sama rapat bukan sahaja dengan Tourism Malaysia, malah juga dengan Lembaga Pelancongan Sarawak, pengusaha hotel, agensi pengembaraan dan yang berkaitan dengan industri pengembaraan.

"Kita perlu menjadi pantas dan kompetitif, kita perlu mempunyai strategi dan kita menganggarkan 122 pengendali lawatan Eropah akan menampilkan Malaysia di dalam risalah dan tapak online masing-masing," katanya.

Industri pelancongan Malaysia menyasarkan menyumbang RM104 bilion terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara menjelang 2020 di mana Malaysia perlu menarik 36 juta ketibaan pelancong pada 2020 berbanding 24 juta pada 2009, iaitu pertumbuhan 50 peratus.

Malaysia Airlines adalah pengendali kelapan pesawat baharu jenis ini dan akan menerima baki dua pesawat A380 menjelang suku pertama 2013. - BERNAMA

Artikel Lain