suria

Rakyat Palestin, Masyarakat Islam Di Timur Tengah Kagum Sokongan Malaysia

SEPANG: Rakyat Palestin dan masyarakat Islam di negara Timur Tengah begitu kagum serta menghormati sokongan, keprihatinan dan sumbangan rakyat Malaysia dalam membantu penduduk negara itu yang terjejas akibat konflik berdarah antara Israel dan Hamas.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata penghormatan itu jelas membuktikan peranan Malaysia dalam menegak keadilan serta keikhlasannya membantu mereka yang memerlukan.

"Bukan sahaja rakyat Palestin tetapi rakyat negara Timur Tengah yang lain juga amat kagum dengan sokongan dan keprihatinan Malaysia terhadap rakyat Palestin. "Selain empat NGO (badan bukan kerajaan), orang persendirian kita juga sanggup ke Gaza untuk menghulurkan bantuan. Mereka menghargai sumbangan dan sokongan moral kita," katanya kepada pemberita sejurus tiba di KLIA bersama rombongannya.

Abdul Azeez, yang dilantik duta kehormat untuk Palestin oleh kerajaan Hamas, berkata misi bantuan kemanusian itu disertai 57 sukarelawan Malaysia terdiri daripada doktor, paramedik dan media berjaya mencapai objektif menyalur bantuan kepada penduduk di negara tersebut.

Beliau berkata Perdana Menteri Hamas Ismail Haniyeh juga meminta Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengunjungi Palestin bagi memperkukuh semangat perpaduan dan hubungan dua hala antara kedua negara. -BERNAMA

Artikel Lain