suria

Rakyat Mesir Keluar Undi Draf Perlembagaan

KAHERAH: Rakyat Mesir mula keluar mengundi dalam referendum berhubung draf perlembagaan negara itu, yang mencetuskan rasa tidak puas hati dengan demonstrasi berdarah sejak dua minggu lalu.

Perlembagaan itu yang digubal susulan kebangkitan rakyat tahun lalu, yang membawa kepada kejatuhan Presiden Hosni Mubarak, dilaporkan telah menjejaskan teruk kestabilan dan perpaduan negara Afrika utara itu.

Presiden Mohammed Morsi dan partinya bekerja keras untuk memastikan draf perlembagaan itu diterima ramai.

Bagaimanapun ia ditolak oleh pembangkang dengan ada yang menyifatkan ia terlalu bersifat Islamik.

Pengundian pada Sabtu berlangsung di Kaherah dan sembilan wilayah lain sebelum diadakan di seluruh negara minggu depan ekoran kekurangan hakim untuk menyelia proses pengundian.

Pengundi diminta memberi undi sama ada "ya" atau "tidak", di mana pengundian boleh dibuat antara jam 8 pagi dan 7 petang waktu tempatan.

Masa pengundian boleh dilanjutkan jika perlu.

Pusingan pertama pengundian dijangka disertai oleh 26 juta orang manakala baki 25 juta lagi akan mengundi pada 22 Disember.

Artikel Lain