suria

Qantas Dapat Lampu Hijau Diintegrasikan Dengan Jetstar

MELBOURNE: Badan pengawas persaingan Australia telah meluluskan rancangan Qantas untuk mengintegrasikannya dengan lebih rapat dengan syarikat penerbangan tambang rendah, Jetstar.

Dalam satu draf keputusan, Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) telah meluluskan penyelarasan antara Qantas dan operasi Jetstarnya di Australia, Singapura, Vietnam, Jepun dan usaha sama yang masih belum diluluskan di Hong Kong bagi penyediaan perkhidmatan penumpang dan kargo.

"ACCC juga menimbangkan bahawa penyelarasan itu akan memanfaatkan pengguna awam dengan meningkatkan kemungkinan menambah penerbangan Jetstar dan destinasi di Asia dan menyediakan peningkatan sambungan secara online bagi para pengguna," kata Pengerusi ACCC Rod Sims dalam satu kenyataan.

Pada Jun, Qantas memohon dengan ACCC bagi mendapatkan kelulusan bagi pelaksanaan Perjanjian Penyelarasan Usaha sama Jetstar (JVCA) yang membolehkan syarikat penerbangan itu bekerjasama mengenai beberapa perkara seperti rangkaian, penjadualan, penetapan harga, pemasaran, pembelian, perkhidmatan pelanggan, pengguna yang kerap terbang dan teknologi maklumat.

"Di bawah JVCA itu, kedua-dua pihak mencadangkan untuk dikendalikan sebagai satu badan tunggal yang disepadukan sepenuhnya dengan menyelaraskan operasi dan aktiviti masing-masing di rantau Asia," kata Qantas di dalam permohonan itu.

ACCC sedang menunggu rayuan pihak yang berkepentingan sebelum mengeluarkan keputusan muktamad.

Artikel Berikut

Guatemala Bebaskan McAfee

Artikel Lain