suria

Pengangguran Singapura Kekal Rendah, Kekosongan Jawatan Meningkat

SINGAPURA: Pasaran buruh di sini terus utuh dengan disokong oleh kegiatan ke arah domestik dan langkah mengetatkan kawalan kemasukan tenaga buruh asing, demikian menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh jabatan penyelidikan dan perangkaan Kementerian Tenaga Manusia.

Laporan mengenai pasaran buruh dalam suku ketiga 2012 itu berkata kadar guna tenaga kekal tinggi, manakala kadar pengangguran terus rendah.

"Meskipun pemberhentian kerja meningkat dalam suku ketiga, namun kadarnya berada di bawah paras kemelesetan," katanya.

Ia berkata peluang-peluang pekerjaan bertambah, dan ini menghasilkan peningkatan nisbah kekosongan pekerjaan berbanding pencari pekerjaan.

Menurut laporan itu, jumlah guna tenaga bertambah sebanyak 26,200 dalam suku ketiga 2012, susut daripada pertumbuhan 31,900 dalam tempoh yang sama tahun lepas dan 31,700 dalam suku kedua 2012.

Dalam sembilan bulan pertama, jumlah guna tenaga bertambah sebanyak 85,100, hampir sama peningkatan yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, katanya.

Kadar pengangguran pelarasan bermusim keseluruhan susut sedikit kepada 1.9 peratus September 2012 daripada dua peratus dalam suku sebelumnya, manakala kadar pengangguran dalam kalangan penduduk dan warga Singapura masing-masing kekal pada 2.8 peratus dan tiga peratus.

Dengan pertambahan kekosongan jawatan, nisbah pelarasan bermusim kekosongan jawatan berbanding penganggur meningkat pada September 2012, selepas merosot dalam dua suku sebelumnya.

Bagi setiap 100 pencari pekerjaan, kini ada 125 peluang pekerjaan, meningkat daripada 91 pada Jun dan 105 pada Mac 2012. - BERNAMA

Artikel Berikut

Guatemala Bebaskan McAfee

Artikel Lain