suria

Guatemala Bebaskan McAfee

GUATEMALA CITY: Pengasas perisian anti-virus John McAfee pada Rabu telah dibebaskan dari pusat tahanan dan telah diiringi pegawai imigresen dan trak polis ke lapangan terbang di Guatemala.

Pengiringnya ke lapangan terbang, turut disertai ramai wartawan dan dua trak polis dengan siren dibunyikan, menandakan bab terakhir bagi pengembaraan aneh McAfee yang berbulan lamanya untuk mengelakkan daripada disoal siasat polis tentang pembunuhan jirannya di Belize.

"McAfee memasuki negara ini secara haram," kata jurucakap perkhidmatan imigresen Fernando Lucero.

"Guatemala mengusirnya. Negara asal beliau adalah Amerika Syarikat, Guatemala menghantarnya ke Amerika Syarikat."

Mereka di sekitar Guatemala City berhenti untuk menyaksikan konvoi polis, dan orang-orang di lapangan terbang berkumpul di sekitar trak imigresen yang membawa McAfee untuk mengambil gambarnya dengan telefon bimbit mereka.

Memakai sut hitam dan baju putih, McAfee berkata, "Saya bebas. Saya akan pergi ke Amerika."

McAfee ditahan minggu lepas kerana melanggar peraturan imigresen selepas dia menyelinap ke Guatemala dari Belize, di mana pihak berkuasa berusaha meyoal siasat beliau mengenai pembunuhan jirannya.

Teman wanitanya berusia 20 tahun yang telah menemani beliau sejak dia melarikan diri tidak bersamanya dalam perjalanan ke lapangan terbang.

Kali terakhir dia dilihat pada awal Rabu meninggalkan pusat tahanan sambil menangis, selepas membawa sarapan kepada McAfee.

Artikel Berikut

Guatemala Bebaskan McAfee

Artikel Lain