suria

Ekspatriat Asia Pinggirkan Australia Kerana Dolar Australia Tinggi

MELBOURNE: Dolar Australia yang sentiasa tinggi dipersalahkan atas kegagalan negara itu menarik ekspatriat Asia.

Walaupun Australia di Asia, serta dasar rasmi Canberra supaya lebih rapat dengan rantau ini, ramai ekspatriat Asia memilih untuk tinggal di Amerika Syarikat, Britain dan Kanada, demikian menurut kajian HSBC yang melibatkan lebih 5,000 ekspatriat.

"Dolar sebenarnya gergaji dua mata, bagi mereka yang datang ke sini untuk bekerja, ia merupakan sesuatu yang hebat untuk mendapat pendapatan yang tinggi.

"Namun bagi mereka yang datang untuk belajar, ia sebaliknya," kata Graham Heunis, Ketua Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan HSBC Australia, dipetik berkata oleh Sydney Morning Herald.

Kajian itu menunjukkan ekspatriat Asia berpindah ke negara maju seperti Australia untuk menyertai peluang-peluang pekerjaan dan pendidikan, masing-masing pada tahap 44 peratus dan 36 peratus.

Kajian juga mendapati corak pergerakan yang lebih luas, dengan hanya 11 peratus ekspatriat bukan Asia menyatakan peluang pendidikan sebagai motivasi untuk berpindah ke negara lain.

Mereka yang terlibat dalam kajian itu terdiri daripada ekspatriat dari China, Hong Kong, India, Malaysia, Jepun, Sri Lanka, Pakistan dan Filipina.

Heunis berkata sebilangan besar penuntut yang belajar di Australia susut sehingga 12 peratus sejak dolar mencecah paras tertinggi.

Beliau berkata Australia tidak wajar selesa dalam menarik bakat Asia untuk belajar dan bekerja.

"Kita ketinggalan disebabkan tidak mendapat pelajar untuk menuntut di sini.

"Mereka yang mempunyai pengalaman mengenai Asia tidak bekerja dengan syarikat kita, yang bermakna kita kurang memahami motivasi pelabur Asia, adat resam dan bahasa," katanya.

Bank itu menganggarkan golongan kelas pertengahan Asia yang semakin membesar akan meningkat kepada 1.9 bilion menjelang akhir dekad ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Guatemala Bebaskan McAfee

Artikel Lain