suria

Malaysia Akan Usaha Bawa Pulang Kenderaan Curi Di Thailand

HATYAI: Malaysia akan berusaha membawa pulang kenderaan yang dikesan telah dicuri dan dibawa masuk ke Thailand, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Katanya, sekumpulan pegawai telah dihantar ke Thailand bulan lepas bagi mengesan dan mengenalpasti kenderaan-kenderaan terbabit di beberapa lokasi.

Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas melawat Balai Polis Hatyai di sini hari ini, beliau berkata, setakat ini kira-kira 100 kenderaan Malaysia telah dikesan di negara gajah putih itu.

Jumlah sebenar kenderaan Malaysia yang tersadai di Thailand tidak diketahui. Mohd Bakri yang mengetuai ketua-ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri tiba di sini semalam dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari di wilayah Songkhla termasuk bagi mengadakan perbincangan dengan pihak polis di wilayah itu.

Beliau turut melawat pejabat pesuruhjaya polis Wilayah 9 di Songkhla dan mendengar taklimat oleh timbalan pesuruhjaya polis, Major Jeneral Polis Chinnatat Meesukh. Ditanya sama ada Malaysia akan turut berusaha membawa balik rakyat Malaysia yang ditahan di Thailand kerana pelbagai kesalahan, Mohd Bakri berkata undang-undang negara jiran perlu dihormati.

Difahamkan hampir 300 rakyat Malaysia kini berada di sebelas penjara di selatan Thailand kerana menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan, kebanyakannya membabitkan dadah. -BERNAMA

Artikel Lain