suria

Mangsa Bedilan Israel Enggan Tinggalkan Gaza

GAZA: Walaupun kehilangan 10 anggota keluarga dalam sekelip mata selepas rumahnya dibom tentera Israel bulan lepas, Ahmad Jamal Al-Dalu tidak gentar untuk terus berada di negara kelahirannya dan menjalani hidup seperti biasa.

Dengan nada sebak, beliau menceritakan peristiwa hitam itu ketika ditemui Bernama dan anggota misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) di tapak rumah tiga tingkatnya yang musnah di daerah kejiranan Nasser di sini.

Ahmad berkata pada hari kejadian, beliau dan isterinya berada di Turki mengikuti pengajian pasca-siswazah dalam bidang kejuruteraan.

"Ibu bapa saya bersiap sedia untuk pergi mengerjakan ibadah haji ketika itu... Saya masih ingat panggilan telefon terakhir itu apabila ibu memaklumkan beliau amat gembira kerana bakal menunaikan ibadat haji.

"Bagaimanapun, insiden malang itu (pengeboman) berlaku. Ia telah ditakdirkan oleh Allah," kata Ahmad Jamal, 28, yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam dalam usaha memahami tragedi berlaku.

Serangan Israel itu, antara lain, mengorbankan ibu Ahmad Jamal, adik lelaki dan dua adik perempuan serta empat anak saudaranya berusia lingkungan tujuh bulan hingga 10 tahun.

Bagaimanapun, ayahnya terselamat kerana berada di masjid berdekatan untuk menunaikan solat.

Sebuah bunting besar memaparkan gambar anggota keluarganya yang terkorban dengan mesej 'Why were they killed' diletak di tapak serangan kejam itu.

Serangan lapan hari Israel bermula 14 November itu memusnahkan 200 kediaman, mengorbankan 176 nyawa penduduk Gaza dan mencederakan 1,399 yang lain.

Dalam kesedihannya, Ahmad Jamal tetap berterima kasih kepada kerajaan dan sukarelawan Malaysia yang tidak putus-putus ke Gaza untuk menghulur bantuan.

Presiden KP1M merangkap ketua misi bantuan kemanusiaan 'gelombang kedua' tersebut, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada lelaki Palestin berjiwa kental itu.

Selain rumah Ahmad Jamal, pasukan misi bantuan kemanusiaan itu meninjau keadaan bangunan pentadbiran Majlis Jemaah Menteri yang hancur dibedil tentera Israel.

Misi kemanusiaan ke Gaza bertujuan menyampaikan bantuan asas dan perubatan anjuran KP1M serta Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia itu disertai 58 sukarelawan, termasuk pakar perubatan dan media. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain