suria

Puting Beliung Di Sleman, Yogyakarta; 16 Cedera, 519 Rumah Rosak

JAKARTA: Angin puting beliung yang melanda 10 buah kampung di Daerah Sleman, Yogyakarta pada Jumaat mengakibatkan 16 penduduk cedera dan 519 rumah rosak.

Berikutan bencana yang turut menumbangkan ratusan batang pokok itu, Pihak Berkuasa Tempatan Daerah Sleman telah mengisytiharkan Keadaan Darurat selama lima hari mulai semalam hingga 11 Dis, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Sleman telah mendirikan pusat koordinasi darurat dan dapur umum di Kampung Bromonila manakala mangsa yang rumah mereka musnah sama sekali dalam bencana itu, ditempatkan sementara di rumah jiran terdekat.

Para petugas badan pengurusan bencana daerah dan negeri Yogyakarta bersama pasukan polis dan tentera serta badan sukarela membantu mangsa menjalankan kerja membersihkan kawasan daripada serpihan runtuhan bangunan rumah dan pokok tumbang.

Dalam kejadian pada 2.30 petang Jumaat itu, tiupan angin puting beliung selaju 60 kilometer sejam berlaku selama 10 minit dalam kawasan lingkungan dua kilometer persegi.

Berikutan kejadian itu, beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Adisucipto, Yogyakarta tidak dapat mendarat dan diarahkan ke lapangan terbang lain.

Sebuah pesawat syarikat penerbangan Merpati dari Bandung pula diarah mendarat di Lapangan Terbang Juanda, di Surabaya, manakala sebuah pesawat syarikat penerbangan Garuda, berpatah balik ke Lapangan terbang Soekarno-Hatta, Cengkareng dan sebuah pesawat Lion Air dari Jakarta terpaksa berlegar di udara selama 15 minit. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain