suria

Malaysia Hantar Bantuan Kepada Mangsa Taufan Bopha

PETALING JAYA: Malaysia pada Jumaat menghantar bantuan makanan serta keperluan lain bernilai RM350,000 kepada mangsa taufan Bopha yang melanda wilayah selatan Filipina Isnin lepas.

Bantuan seberat 13 tan metrik itu dihantar menggunakan pesawat Charlie milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas bersama 16 sukarelawan daripada Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan warga media.

Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay hadir di Pangkalan TUDM Subang di sini bagi mengucapkan selamat jalan kepada anggota misi yang dijadual kembali ke tanah air esok.

Kohilan sebelum itu merasmikan Pusat Pengumpulan dan Penyimpanan Barangan Bantuan Kemanusiaan semasa Bencana Asean yang dikelola AHA Centre (Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana Asean) dan Program Makanan Sedunia Negara Bersatu.

"Lokasi Malaysia amat strategik dan bebas daripada ancaman bencana alam seperti gempa bumi dan gunung berapi, maka ini menjadi satu kelebihan kita dalam meneruskan misi bantuan kepada negara yang memerlukan," kata Kohilan pada majlis itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif AHA Centre Said Faisal yang turut hadir, berkata pusat yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia tersebut berfungsi sebagai pengesan awal bencana alam sebelum menyelaraskan misi bantuan kemanusiaan ke negara terjejas.

"AHA Centre yang ditubuhkan pada 2011 adalah platform terbaik mengukuhkan hubungan antara negara Asean terutamanya dalam pengurusan bencana alam," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain