suria

Cadangan Guru Narathiwat Supaya Langkah Keselamatan Ditingkatkan Dibawa Ke Kaninet

BANGKOK: Kementerian Pendidikan akan memajukan cadangan guru-guru Narathiwat bagi meningkatkan langkah-langkah keselamatan untuk mereka kepada Kabinet tidak lama lagi berikutan penutupan 378 sekolah di wilayah itu selama dua hari mulai Khamis.

Timbalan Perdana Menteri Pongthep Thepkanjana yang juga menteri pendidikan berkata kerajaan akan cuba menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

Pongthep melawat Narathiwat pada Khamis untuk bertemu 1,500 guru dari tiga wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala, yang golak.

Semalam, Gabungan Guru-guru di Narathiwat bersetuju untuk menggantung kelas-kelas di 378 sekolah yang dikendalikan kerajaan selama dua hari berikutan insiden tembak ke atas dua guru di wilayah ini minggu ini mengakibatkan seorang terbunuh dan seorang lagi cedera.

Mereka menuntut pasukan petugas kampung ditubuhkan bagi melindungi mereka memandangkan lebih ramai tentera dikeluarkan daripada beberapa kawasan bagi memberi peranan yang lebih luas kepada polis mengekalkan keamanan.

Tentera menyediakan pengiring bagi guru-guru dan pelajar berulang alik dari sekolah di tiga wilayah berikutan pergolakan di kawasan itu sejak lapan tahun lalu.

Lebih daripada 5,000 orang termasuk 155 guru terbunuh sejak golongan pemisah meningkatkan kempen bersenjata bagi mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah itu lapan tahun lalu.

Sebelum ini, Gabungan Guru-guru wilayah sempadan selatan melancarkan mogok dengan menutup 322 sekolah kendalian kerajaan di Pattani selama empat hari mulai 27 Nov bagi mendesak pihak berkuasa supaya meningkatkan langkah-langkah keselamatan.

Mereka memgambil tindakan itu berikutan pembunuhan seorang guru kanan di situ oleh puak militan pada 22 Nov.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Nasional (NSC) menyebut masalah komunikasi antara pegawai keselamatan dan guru-guru telah membawa kepada meningkatnya serangan pemberontak terhadap guru sejak kebelakangan ini.

Ketua Setiausaha NSC Lt Jen Paradon Pattanathaboot hari ini berkata guru-guru perlu memaklumkan pegawai-pegawai keselamatan mengenai jadual kerja mereka supaya kawalan dapat disediakan kepada mereka.

"Kita berulang kali memberi amaran kepada guru-guru untuk berhubung dengan pegawai-pegawai keselamatan supaya mereka dapat menyediakan pengiring selepas mereka selesai bertugas," katanya kepada pemberita di sini.

Berikutan perkembangan terbaru itu, Lt Jen Paradon berkata lebih banyak pusat pemeriksaan keselamatan akan diadakan bagi mengetatkan langkah-langkah keselamatan di sana.

Beliau berkata guru-guru juga menjadi sasaran kedua pemberontak kerana mereka dilihat sebagai mempengaruhi pemikiran pelajar selain daripada tentera dan polis yang menjadi sasaran pertama mereka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Timor Leste Kekal Sertai Asean

Artikel Berikut

Artikel Lain