suria

Jualan Rumah Persendirian Di Singapura Mungkin Susut 20 Peratus Tahun Depan

SINGAPURA: Jumlah jualan rumah persendirian di Singapura mungkin merosot lebih daripada 20 peratus pada 2013 selepas kenaikan "luar biasa" tahun ini, demikian menurut PropertyGuru Market Views.

PropertyGuru ialah kumpulan portal hartanah kediaman dan komersil dalam talian sehenti terkemuka Asia.

Dalam laporan Market Views untuk tempoh dua minggu berakhir 13 Dis, 2012, ia berkata David Neubronner, Ketua Jualan Projek Kediaman Jones Lang LaSalle (JLL), telah mengeluarkan amaran tahun ini dan mencadangkan jumlah jualan tahun ini, yang dijangka mencecah 22,000 unit, akan diperbetulkan kepada "tahap yang lebih sihat iaitu kira-kira 16,000 unit" dalam senario yang lebih teruk.

Neubronner berkata, "Jika diletakkan di dalam perspektif, lonjakan tahun ini iaitu daripada 15,800 pada 2011 kepada mungkin 22,000 menjelang akhir 2012 adalah amat luar biasa.

"Kami percaya yang ini bukan pergerakan ke hadapan yang mampan dan akan berubah tahun depan. Dalam senario yang lebih teruk, kami menganggarkan pasaran akan diperbetulkan kepada paras yang lebih sihat iaitu kira-kira 16,000 unit yang dicapai pada 2010 dan 2011.

Ini telah mengambil kira jangkaan kelembapan ekonomi pada 2013, kawalan ketat kediaman dan pengambilan pekerja asing.

Laporan itu berkata Neubronner tidak menolak gelombang seterusnya dalam langkah-langkah kerajaan. - BERNAMA

Artikel Lain