suria

Thailand Sambut Status Palestin Dalam PBB

BANGKOK: Thailand menyambut baik resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi status Negara Pemerhati Bukan Anggota badan dunia itu kepada Palestin.

"Sokongan Thailand terhadap resolusi itu adalah berdasarkan hak rakyat Palestin yang tidak boleh dinafikan untuk menentukan nasib sendiri dan memiliki sebuah negara merdeka, demokratik, berdaya maju dan aman, yang wujud di samping negara Israel secara aman dan selamat," kata satu kenyataan akhbar.

Kenyataan itu, yang dikeluarkan Jabatan Penerangan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negara berkata Thailand gembira kerana dapat menyertai masyarakat antarabangsa dalam menyokong resolusi berkenaan, yang diterima pakai PBB apabila 138 daripada 193 negara anggotanya menyokong, sembilan menentang dan 41 mengambil pendirian berkecuali.

Thailand menegaskan rundingan antara Israel dan Palestin perlu disambung semula kerana ia merupakan langkah penting ke arah mewujudkan keamanan serta kestabilan berkekalan di Timur Tengah.

Thailand juga menggesa semua pihak terbabit supaya mempertingkat usaha untuk mewujudkan suasana kondusif bagi mencapai kejayaan menyeluruh dalam proses damai yang menjadi idaman rakyat Israel dan Palestin, kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Thailand menyambut baik sebarang usaha untuk memastikan perjanjian gencatan senjata yang dicapai baru-baru ini berkaitan Semenanjung Gaza, dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak, kata kenyataan tersebut. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain