suria

Perwakilan Palestin Hargai Sokongan Malaysia

KUALA LUMPUR: Perwakilan Palestin yang menghadiri forum mengenai konflik dan pendamaian di sini, memuji usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Malaysia membawa keamanan ke tanah air mereka, sekalipun terletak beribu kilometer jauhnya dari sini.

Abdallah Aqrabawi daripada Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), berkata pemimpin harus berkongsi dan menjayakan idea untuk penyelesaian secara aman kepada konflik yang berlaku di beberapa bahagian di dunia.

"Walaupun kita dari negara dan parti politik yang berbeza, kita harus menjayakan idea mengenai budaya aman yang disebut Najib Razak hari ini," katanya kepada Bernama, di luar Forum Antarabangsa Umno bertema 'Konflik dan Pendamaian dalam Politik Rakyat - Menoleh ke Belakang atau Memandang ke Hadapan?' di sini, Isnin.

Forum dua hari itu yang dianjur bersempena Perhimpunan Agung Umno 2012, dirasmi Najib.

Dalam ucapannya, Najib berkata masanya sudah tiba bagi pergerakan global bagi menyebar luas budaya keamanan dan membuang pendekatan membalas dendam dalam dunia masa kini yang telah berubah.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Hubungan Antarabangsa Al-Fatah, Dr Abdullah M.I. Abdullah, mengakui Malaysia telah lama menyokong perjuangan Palestin.

Pada Mesyuarat Pemimpin Asean-Amerika Syarikat di Phnom Penh, Malaysia dan Indonesia membangkitkan isu keganasan di Gaza, menyebabkan Presiden Barack Obama membuat beberapa panggilan telefon bagi membantu menghentikan keganasan itu.

Anggota Kanan Majlis Eksekutif Kebangsaan Wiper Democratic Movement dari Kenya, Victor Ogeto, memuji inisiatif Malaysia dalam menganjurkan forum yang berlatarbelakangkan konflik di beberapa negara.

Katanya adalah mudah untuk menamatkan konflik jika pihak berkepentingan bersedia berbincang bersama.

Wakil Ketua Umum Partai Demokrat dari Indonesia, Max Sopacua berkata negara jiran itu menghantar delegasi paling ramai ke forum tersebut bertujuan mendapatkan input-input berkaitan.

Beliau turut berkata pihaknya bercadang menghimpunkan kertas kerja yang dibentang selain ucapan Najib untuk dibuku dan disebar. -BERNAMA

Artikel Lain