suria

Penggubal Dasar Perlu Fahami Intipati Konflik

KUALA LUMPUR: Penggubal dasar perlu memahami intipati sebenar konflik sebelum mengambil apa jua langkah untuk menyelesaikannya, kata seorang peserta sebuah forum antarabangsa di sini, Isnin.

Ketua Partai Demokrat dalam Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia Dr Nurhayati Ali Assegaf berkata perkara ini penting kerana setiap konflik mempunyai ciri, gaya dan dinamik yang tersendiri.

Beliau berkata pada dasarnya setiap konflik memerlukan penyelesaian berbeza yang memerlukan keadaan politik yang aman untuk diselesaikan.

"Banyak konflik menjadi semakin buruk disebabkan penggubal dasar gagal memahami intipati sebenar konflik berkenaan," katanya pada sesi pleno kedua Forum Antarabangsa Umno bertemakan 'Konflik dan Perdamaian dalam Politik Rakyat - Menoleh ke Belakang atau Memandang Ke Hadapan?' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Sesi bertajuk 'Budaya demokrasi baharu dalam landskap politik semasa' itu diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno 2012. Beliau berkata konflik perlu dibincangkan secara terperinci sebelum sebarang proses membuat keputusan diambil memandangkan setiap butiran dan fakta walaupun sekecil mana sekalipun akan memberi kesan kepada penilaian serta dasar kerajaan di masa depan.

Nurhayati turut menceritakan pelbagai bentuk konflik yang tercetus di negara pulaunya yang mempunyai latar belakang komunal, etnik serta agama dan pendekatan diambil oleh kerajaan Indonesia dalam menyelesaikan konflik seperti di wilayah Aceh, Ambon dan Papua.

Namun begitu, beliau berkata penyelesaian yang lebih baik untuk menamatkan konflik adalah dengan menggalakkan dialog dalam kalangan pemimpin agama dan pihak berkuasa kerajaan di samping perlu ada kesediaan daripada pihak bertelagah untuk menamatkan konflik.

Sementara itu Naib Presiden Pejabat Suruhanjaya Negara bagi Reformasi Sektor Awam Parti Komunis China He Jianzhong berkata masyarakat bertelagah perlu mencari persefahaman sambil mengetepikan perbezaan dan saling berkongsi pengalaman masing-masing.

"Mereka perlu memahami keadaan dan perbezaan masing-masing dan mengambil sikap yang realistik namun pragmatik," katanya.

Beliau berkata parti politik perlu menzahirkan keberanian dan kebijaksanaan untuk merintis laluan baharu dan memanfaatkan kelebihan daripada setiap pihak. -BERNAMA

Artikel Lain