suria

Letupan Bom Korbankan 17 Nyawa Yang Dalam Perjalanan Ke Majlis Perkahwinan

KABUL: Sebuah bom yang diletakkan di tepi jalan telah meletup dan mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang awam - kebanyakkannya wanita dan kanak-kanak - yang sedang dalam perjalanan ke satu majlis perkahwinan di Barat Afghanistan pada Jumaat.

Kesemua mangsa berada dalam sebuah bas mini yang dalam perjalanan dari sebuah perkampungan ke sebuah lagi perkampungan yang mengadakan kenduri perkahwinan.

Kejadian malang itu berlaku di wilayah Farah, kata jurucakap kerajaan wilayah berkenaan, Abdul Rahman Zhewandai ketika dihubungi agensi berita antarabangsa AFP.

Ketua Polis wilayah berkenaan, Aqa Noor Kintoz pula mengesahkan 14 lagi diklasifikasikan sebagai cedera.

Tidak diketahui bom tersebut disasarkan kepada siapa.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, sejumlah 1,145 orang awam Afghanistan terkorban dalam kejadian letupan bom dan tembakan rambang manakala 2,000 lagi tercedera.

Wanita dan kanak-kanak merangkumi 30 peratus daripada mangsa berkenaan.

Awal minggu ini, seorang ibu dan bayinya yang baru sahaja dilahirkan telah menjadi mangsa korban letupan bom di tepi jalan.

Ibu tersebut bersama bayinya itu dan enam ahli keluarganya yang lain sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari hospital selepas selamat bersalin tetapi malangnya menjadi mangsa letupan bom.

Seminggu sebelum itu, satu lagi letupan bom tepi jalan telah mengorbankan 10 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak juga dalam perjalanan menuju ke majlis perkahwinan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain