suria

OIC Gesa Obama Bangkit Isu Keganasan Terhadap Muslim Rohingya Semasa Lawat Myanmar

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu, menggesa Presiden AS yang dipilih semula Barack Obama membangkitkan isu kritikal keganasan terhadap masyarakat Islam Rohingya, semasa lawatan beliau ke Myanmar pada 19 November.

Ihsanoglu menggesa presiden itu agar mendesak pihak berkuasa tertinggi Myanmar dan pemimpin pembangkangnya, menamatkan segera keganasan.

Ihsanoglu berpendapat bahawa ini merupakan langkah pertama ke arah memulih ketenteraman di negara itu dan bagi mewujudkan penyelesaian damai dalam usaha memelihara proses pendemokrasian.

Ini hendaklah termasuk perlindungan hak asasi manusia bagi semua kumpulan etnik minoriti, demikian OIC melaporkan beliau sebagai berkata dalam sepucuk surat kepada Obama pada Selasa lepas.

Menurut beberapa laporan, lawatan Obama bertujuan bertemu dengan Presiden Thein Sein serta pemenang 'Nobel Peace Prize' dan ketua pembangkang, Aung San Suu Kyi.

Setiausaha agung OIC itu juga menarik perhatian Obama terhadap situasi kritikal minoriti Rohingya di Myanmar, yang terus menghadapi penindasan dan pencabulan hak asasi manusia.

Ihsanoglu berkata pada 5 September lepas, satu delegasi peringkat tinggi OIC telah berkunjung ke Myanmar menandatangi Memorandum Kerjasama (MoC) dengan kerajaan Myanmar bagi membuka sebuah pejabat di sini.

Bagaimanapun, pejabat itu belum lagi dibuka hingga ke hari ini oleh kerana kerajaan Myanmar memungkiri perjanjian itu.

Beliau berkata satu perbincangan khas mengenai isu Rohingya akan diadakan semasa mesyuarat Majlis Menteri-menteri Luar OIC ke 39 di Republik Djibouti dari 15 hingga 17 November. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain