suria

McAfee Akui Terpaksa Melarikan Diri Dari Polis Belize

John McAfee
John McAfee
John McAfee

BELIZE CITY: Pencipta perisian anti-virus terkenal, John McAfee mengakui bahawa dia kini sedang dalam pelarian daripada disoat siasat oleh polis negara ini berkaitan satu kes pembunuhan jirannya yang juga warga Amerika.

McAfee memberitahu stesen televisyen CNBC, dia bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi lain setiap empat jam untuk mengelak diri daripada ditangkap.

Polis Belize mahu menyoal McAfee, 67, mengenai pembunuhan jirannya, Gregory Faull, yang ditemui mati di rumahnya oleh seorang pembantu rumah, Ahad lalu.

"Saya telah dituduh melakukan sesuatu yang tidak saya lakukan, jika saya menyerah diri saya khuatir keselamatan saya akan terancam," kata McAfee.

Malah beliau percaya pihak polis mahu memeras ugutnya dan meminta sejumlah wang sebagai jalan penyelesaian.

Faull, 52, seorang warga Amerika asal Florida telah ditembak di belakang kepalanya.

Tidak ada tanda-tanda yang rumahnya telah dipecah masuk tetapi sebuah komputer riba dan telefon bimbit disahkan hilang.

Sementara itu, jurucakap polis Raphael Martinez berkata, mereka sedang mencari McAfee untuk disoal siasat bukan untuk membuat pertuduhan.

"McAfee bukanlah suspek pembunuhan itu," ujar Martinez.

Polis telah menyerbu kediaman mewah McAfee di Ambergris Caye, iaitu sebuah pulau dalam Republik Belize, lewat Ahad untuk menyoalnya tentang insiden pembunuhan yang berlaku di rumah jirannya itu.

McAfee sebelum ini telah pun menghadapi pengalaman buruk dengan pihak polis apabila kediamannya diserbu kerana disyaki menyimpan dadah dan juga senjata api.

Jutawan perisian komputer itu kemudian mendakwa dia telah menjadi mangsa tahanan polis selepas enggan menderma kepada sebuah parti politik tempatan.

McAfee, mencipta nama apabila memperkenalkan perisian anti-virus "McAfee" tetapi kemudian membuat duit dengan menjual hakcipta dan syarikatnya pada harga berjuta-juta dolar pada awal 1990an.

Dia telah menetap di Belize sejak empat tahun lalu.

Dalam pada itu, sebuah majalah komputer dan perisian popular "Wired" mendakwa McAfee telah menyembunyikan dirinya dengan menimbus dirinya di dalam pasir ketika polis menyerbu kediamannya itu.

Majalah itu berkata, McAfee menutup muka dan kepalanya dengan kotak kertas agar dia boleh bernafas buat seketika.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain