suria

Indonesia Menilai Secara Menyeluruh Kemasukan Pekerjanya Ke Malaysia

JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan menilai secara menyeluruh kemasukan tenaga kerjanya ke Malaysia selain meningkatkan langkah-langkah pelindungan sebagai persediaan menghadapi kes-kes yang mungkin dialami mereka yang bekerja secara haram di Malaysia.

Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar berkata perkara itu akan dilakukan secepat mungkin berikutan berlakunya beberapa kes yang melibatkan pelindungan terhadap tenaga kerja Indonesia di negara itu.

Selain aspek keselamatan dan kebajikan rakyat Indonesia yang membanjiri Malaysia, kerajaan Indonesia juga telah melantik beberapa peguam tempatan untuk membela rakyatnya yang terlibat dalam pelbagai kes di Malaysia, katanya sebagaimana dipetik oleh media tempatan.

Muhaimin berkata kerajaan Indonesia juga telah meminta ketegasan kerajaan Malaysia dalam memastikan keselamatan rakyat Indonesia di negara itu.

"Kami juga secepat mungkin mengadakan mesyuarat pasukan petugas bersama iaitu jawatankuasa bersama Indonesia-Malaysia yang menggabungkan wakil kerajaan kedua-dua negara," katanya.

Pasukan petugas bersama itu dijangka dapat segera menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan penempatan dan pelindungan tenaga kerja Indonesia di Malaysia.

Hubungan Indonesia dan Malaysia kembali tegang berikutan kes seorang pekerja wanita Indonesia berusia 25 tahun yang mendakwa dirogol tiga anggota polis di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, 9 November lepas.

Kes terbaharu pula membabitkan seorang pembantu rumah Indonesia yang mendakwa dirogol majikannya di Seremban, Negeri Sembilan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain