suria

India Perkenal 'Versi Baru' Tablet Termurah Di Dunia

Jurutera perisian bersama tablet baru Aakash 2 di makmal mereka di Institut Teknologi India (IIT) kampus Mumbai pada 26 Jun, 2012. -foto AFP
Jurutera perisian bersama tablet baru Aakash 2 di makmal mereka di Institut Teknologi India (IIT) kampus Mumbai pada 26 Jun, 2012. -foto AFP
Jurutera perisian bersama tablet baru Aakash 2 di makmal mereka di Institut Teknologi India (IIT) kampus Mumbai pada 26 Jun, 2012. -foto AFP

NEW DELHI: India telah melancarkan komputer tablet versi terkini dengan kos paling rendah menggunakan pemproses yang lebih pantas dan bateri yang lebih baik, dijual kepada pelajar pada harga subsidi $20.

Tablet Aakash, yang dikatakan komputer termurah dunia, telah dibangunkan sebagai perkongsian awam-swasta bertujuan menjadikan teknologi komputer dapat disediakan kepada pelajar-pelajar di negara ini di mana penggunaan Internet hanya sekitar 10 peratus.

Pembuat tablet, Datawind yang berpangkalan di Britain berkata Aakash 2 dikuasakan oleh pemproses tiga kali lebih pantas berbanding yang asal, mempunyai skrin sentuh yang lebih besar dan bateri dengan jangka hayat tiga jam.

"Teknologi dalam pembelajaran adalah satu aspek yang sangat penting dalam pendidikan," kata Presiden India Pranab Mukherjee pada Ahad ketika majlis pelancaran rasmi.

"Ini mesti disesuaikan dengan keperluan khusus kita dan diperkenalkan segera di semua institusi pendidikan di seluruh negara," katanya.

Versi pertama Aakash telah dilancarkan oleh kerajaan pada bulan Oktober tahun lepas tetapi ia telah dicemari beberapa masalah termasuk hayat bateri yang singkat, senarai menunggu yang panjang dan kesukaran dari segi pengagihan.

Aakash 2 dengan saiz buku, dibangunkan oleh jurutera India di universiti awam elit IIT, menjalankan sistem operasi Google Android 4.0 dan mempunyai skrin berukuran tujuh inci (18 sentimeter) luas.

100,000 peranti pertama akan dijual kepada pelajar-pelajar di kolej-kolej kejuruteraan dan universiti pada harga subsidi 1.130 rupee (20 dolar) dan kemudiannya Aakash 2 akan diedarkan ke kedai-kedai buku di universiti-universiti India.

Datawind berkata harga jualan komersial tanpa subsidi untuk Aakash 2 adalah 3.500 rupee (64 dolar).

Lebih 15,000 guru di 250 kolej telah dilatih mengenai penggunaan Aakash untuk pendidikan, menurut kementerian pembangunan sumber manusia di India.

Negara tersebut mempunyai hampir 115 juta pengguna Internet, menjadikannya sebagai ketiga terbesar di dunia selepas China dan Amerika Syarikat, tetapi dengan kadar penembusan yang rendah, menurut data dari 'Internet and Mobile Association of India (IMAI)'. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain