suria

Permintaan Produk China Dikalangan Rakyat India Meningkat

NEW DELHI: Kegilaan mendapatkan produk China di India sebagai hadiah dan bahan perhiasan semasa Deepavali telah meningkatkan secara mendadak permintaan mendapatkan barangan itu, yang semuanya kerana ia lebih murah dan banyak pilihan, demikian menurut satu kaji selidik.

Kaji selidik oleh Yayasan Pembangunan Sosial Dewan Perniagaan dan Industri India (ASSOCHAM) menunjukkan permintaan bagi mendapatkan aneka jenis lampu, terendak lampu, patung, mercun dan pelbagai perkara berkaitan telah melonjak lebih 45 peratus berbanding tahun lepas.

“Pasaran menyaksikan lonjakan apabila para pengguna berduyun-duyun pergi membeli barangan tersebut yang menarik dan murah," kata kaji selidik itu.

Kaji selidik itu menunjukkan 78 peratus daripada pengguna menyatakan bahawa lampu buatan China 50 peratus lebih murah daripada lampu buatan India, yang turut termampu oleh golongan miskin.

“Kepopularan lampu buatan China adalah kerana ia murah dan beraneka jenis. Ia menjimatkan hampir 35 peratus dari perbelanjaan Deepavali," kata yayasan itu.

Sebagai contoh, 100 lampu kecil dari China boleh dibeli pada harga Rs40 (US$0.74) hingga Rs60 (US$1.10), yang menyebabkan permintaan mendapatkan lampu minyak merosot tahun ke tahun dan beralih kepada lampu yang diimport itu.

Hampir 82 peratus daripada peniaga borong mercun berkata mercun China juga lebih berwarna warni dan berbunyi kuat, sekali gus lebih digemari berbanding buatan India.

Yang jelas, corak pembelian itu memberi kesan yang buruk terhadap perniagaan tempatan di India kerana ia memberi saingan sengit, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wartawan Radio Filipina Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain